Gojek lancar platform sehenti GoGames untuk ‘gamers’

Gojek lancar platform sehenti GoGames untuk ‘gamers’

GoGames ekosistem permainan sehenti yang menawarkan kandungan permainan, promosi dan diskaun, artikel petua dan video bimbingan.

PETALING JAYA:
Syarikat Indonesia, Gojek yang terkenal dengan aplikasi perkongsian kenderaan, melancarkan platform sehenti GoGames untuk “gamers”, menawarkan kandungan permainan dan akses kepada promosi, diskaun dan baucar.

Gojek, atau nama sebenarnya PT Aplikasi Karya Anak Bangsa, melancarkan ciri terbaru syarikat itu pada satu majlis di Jakarta pada 8 Sept lepas, lapor akhbar Indonesia, Jakarta Post.

Jika digandingkan dengan e-dompet GoPay, pemain boleh membeli kredit dengan mudah dan tawaran lain seperti pulangan tunai untuk tambah nilai permainan.

Pemain juga boleh membaca artikel untuk mendapatkan petua dan maklumat terkini mengenai pertandingan tempatan dan antarabangsa, dan menonton video bimbingan daripada watak-watak terkenal di Indonesia dan pertandingan e-sukan.

“GoGames adalah ekosistem permainan sehenti utama di Indonesia,” kata pengasas bersama Gojek, Kevin Aluwi.

Menurut laporan itu, data 2018 daripada platform pengiklanan telefon bimbit, Pokkt dan syarikat perunding pasaran, Decision Lab, Indonesia mempunyai 60 juta pemain dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.