Ramkarpal persoal kaitan mansuh peperiksaan dengan keganasan pelajar

Ramkarpal persoal kaitan mansuh peperiksaan dengan keganasan pelajar

Ahli Parlimen Bukit Gelugor gesa KPM kaji kaitan antara pemansuhan UPSR dan PT3, contohnya, dengan lonjakan kes keganasan di sekolah.

ramkarpal singh
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, pelaksanaan semula peperiksaan bukan sahaja dapat tingkat standard akademik, malah bantu pelajar agar kekal berdisiplin dan fokus.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) agar mengkaji sama ada pemansuhan peperiksaan awam, seperti UPSR dan PT3, mempunyai kaitan dengan peningkatan kes keganasan dalam kalangan pelajar.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, pengenalan semula peperiksaan akademik wajib mampu membantu pelajar menumpukan perhatian terhadap pelajaran sambil mengurangkan pengaruh permainan video serta kandungan media sosial yang memudaratkan.

Merujuk kepada pemansuhan PT3 pada 2022 dan UPSR pada 2021, Ramkarpal mempersoalkan sama ada wujud kaitan antara ketiadaan peperiksaan tersebut dengan lonjakan kes buli dan keganasan di sekolah.

Memetik angka yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), beliau berkata, kes buli dan keganasan sekolah melonjak daripada 3,883 kes pada 2022 kepada 7,681 kes tahun lepas.

“Ramai pihak menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan ketara ini, lebih-lebih lagi susulan insiden berprofil tinggi seperti kes pembunuhan pelajar berusia 16 tahun, Yap Shing Xuen daripada SMK Bandar Utama Damansara (4) baru-baru ini,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat.

“Adakah kementerian akan melakukan kajian bagi mengenal pasti sama ada ketiadaan pentaksiran berstruktur menjadi faktor penyumbang kepada trend yang membimbangkan ini?”

Beliau berkata, pelaksanaan semula peperiksaan bukan sahaja boleh meningkatkan standard akademik, malah membantu pelajar agar kekal berdisiplin dan fokus.

“Ini boleh mengurangkan masa skrin dan permainan dalam talian yang berlebihan, justeru mengehadkan pendedahan kepada kandungan dalam talian yang memudaratkan,” katanya memetik kajian yang mengaitkan permainan dalam talian yang agresif dengan tingkah laku ganas dalam kalangan belia.

Bagaimanapun, Ramkarpal mengakui bahawa pengharaman sepenuhnya permainan dalam talian mungkin tidak praktikal, sebaliknya mencadangkan agar KPM menimbang alternatif berstruktur, seperti mewajibkan kegiatan kokurikulum dan program berasaskan disiplin, bagi membantu pelajar mengisi masa lapang dengan lebih produktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.