Zahid yakin Prabowo mampu redakan protes di Indonesia

Zahid yakin Prabowo mampu redakan protes di Indonesia

Timbalan perdana menteri berkata sebagai pengerusi Asean, Malaysia berpegang kepada prinsip tidak mencampuri urusan dalaman mana-mana negara anggota.

rusuhan indonesia
Semalam, ribuan rakyat Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Jakarta atas kematian pemandu Gojek Affan Kurniawan, 21 yang digilis kenderaan polis. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yakin Presiden Indonesia Prabowo Subianto mampu menangani ketegangan yang tercetus di republik itu susulan protes yang berlaku sejak awal minggu lalu.

Zahid berkata sebagai pengerusi Asean, Malaysia berpegang kepada prinsip tidak mencampuri urusan dalaman mana-mana negara anggota dan percaya isu berkenaan boleh diselesaikan secara aman.

“Yang paling penting, tidak ada masalah yang tidak boleh diatasi. Semuanya boleh dibawa ke meja perundingan dan tidak perlu untuk tunjuk perasaan atau demonstrasi dilakukan dan kita tidak berhajat untuk mencampuri urusan mana-mana negara, apatah lagi negara jiran.

“Saya merasakan Prabowo sangat boleh didekati dan banyak perkara-perkara yang menjadi permasalahan kecil atau besar boleh dirundingi dan ada jalan untuk beliau selesaikan sebarang permasalahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Quran Hour di Masjid Negara.

Semalam, ribuan rakyat Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Jakarta atas kematian pemandu Gojek Affan Kurniawan, 21 yang digilis kenderaan polis.

Media melaporkan Affan meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan taktikal polis ketika pihak berkuasa cuba menyuraikan demonstrasi yang didakwa menjurus kepada aksi tidak terkawal.

Insiden itu mencetuskan kemarahan peserta demonstrasi yang mengejar kenderaan terbabit sehingga ke Markas Briged Bergerak (Brimob) Polis di Jakarta Pusat untuk menuntut keadilan.

Susulan itu, Prabowo Subianto memberi jaminan pihaknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan telus.

Beliau turut menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap tindakan pihak keselamatan yang menyebabkan kematian pemandu Gojek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.