
Presidennya Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata langkah itu antara perkara dipersetujui dalam pertemuan pihaknya bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta wakil Roblox, semalam.
Menurutnya, antara isu dikenal pasti ialah risiko kanak-kanak terdedah kepada pedofilia, buli siber, ketagihan permainan, eksploitasi dalam talian, serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai akibat kurangnya pemantauan ibu bapa.

“Kita akan mengeluarkan garis panduan keselamatan yang bersesuaian (termasuk bagi permainan Roblox) dan melaksanakan program kesedaran bagi membendung isu ini secara bersepadu.
“MESF bersama pemegang taruh turut akan mengeluarkan penjelasan mengenai bentuk permainan yang sesuai berdasarkan had umur,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, walaupun sesetengah permainan video tidak termasuk dalam kategori sukan elektronik, MESF tetap mengambil peranan membantu mengurangkan risiko dan gejala tidak sihat dalam kalangan pemain muda.
Kebimbangan mengenai keselamatan permainan dalam talian semakin memuncak susulan insiden membabitkan kanak-kanak yang didakwa berkaitan dengan pengaruh Roblox.
Dalam kejadian di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, kelmarin, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun parah akibat dikelar dan ditikam, dipercayai oleh abangnya berusia sembilan tahun.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian selepas berang permainan Roblox miliknya terganggu dan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul (points) selepas telefon bimbitnya rosak.
Suspek juga dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam akibat pengaruh permainan tersebut, seolah-olah diarahkan mencederakan ahli keluarga, sebelum menyerang adiknya menggunakan pisau di rumah.
Ibu dan bapa kanak-kanak itu, masing-masing berusia 40 tahun, direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).