
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Siti Hamisah Tapsir berkata pihaknya mengenal pasti kursus-kursus terbabit selepas mempertimbangkan keperluan dan perkembangan semasa.
“Jabatan Pendidikan Tinggi perlu memastikan setiap kursus akademik yang ditawarkan universiti awam relevan dengan perkembangan semasa serta peluang pekerjaan selepas pelajar menamatkan pengajian,” kata beliau dipetik BH.
Kata beliau, negara perlu mendepani Revolusi Industri 4.0 yang sedang melanda, dan justeru itu ada program akademik yang perlu diganti dengan program baru selari dengn keperluan industri.
Siti Hamisah juga berkata pihaknya telah meminta setiap universiti mengenal pasti dan seterusnya mereka bentuk semula program akademik agar sejajar dengan perkembangan industri.
Setiap 19 universiti awam menggugurkan dua program menjadikan 38 keseluruhan.
Kata laporan itu, beberapa lagi program akademik turut dalam pemerhatian, sama ada akan digugur atau distruktur semula selaras dengan perubahan dalam pasaran pekerjaan di Malaysia.
Sebagai contoh Universiti Pendidikan Sultan Idris menggugurkan program Sarjana Muda Sains Sukan (Psikologi Sukan) dan Sarjana Muda Teknologi Pendidikan (Keusahawanan dan Perdagangan) manakala Universiti Malaysia, pusat pengajian tinggi tertua di Malaysia tidak akan menawarkan lagi program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik (Reka Bentuk Produk) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Alam Sekitar).
Universiti Kebangsaan Malaysia menggugurkan program Sarjana MUda Kejuruteraan (Kejuruteraan Awam dan Sekitaran) dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Pembuatan), Universiti Putra Malaysia (Bacelor Pendidikan (Pendidikan Sekolah Rendah) dan Sarjana Pengurusan Air) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) dan Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam – Sekolah Rendah).
Universiti Malaysia Terengganu yang terlibat dalam proses penggabungan dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menggugurkan program Sarjana Sains (Falsafah dan Ketamadunan) dan Sarjana Sains Kaunseling.
Universiti Malaysia Sarawak menggugurkan program Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Industri) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi), Universiti Malaysia Sabah (Sarjana Ekonomi (Ekonomi Kewangan) dan Sarjana Ekonomi (Ekonomi Perancangan dan Pembangunan), Universiti Malaysia Perlis (Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Fotonik) dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Rangkaian Komputer)) dan Universiti Malaysia Pahang (Sarjana Kejuruteraan (Bio-Proses) dan Sarjana Kejuruteraan (Kimia).
Universiti Malaysia Kelantan tidak lagi akan menawarkan program Sarjana Muda Siberologi (Animasi dan Ludologi) dan Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Reka Bentuk Komunikasi) dan Universiti Utara Malaysia Sarjana Sains (Perbankan Islam) dan Sarjana Sains (Teknokeusahawanan).