
Hospital Bersalin Kuala Lumpur secara rasminya menamatkan operasinya pada 17 September selepas berkhidmat lebih 56 tahun.
Dan kini jabatan itu berpindah ke bangunan baharu yang telah di naik taraf dengan kos pembinaan RM848 juta.
Bagaimanapun bangunan itu tidak lagi dikenali sebagai Hospital Bersalin sebaliknya diberi nama baharu iaitu Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (WCH).
Ditubuhkan pada 1963, sejak itu ramai bakal ibu memilih hospital berkenaan untuk melahirkan cahaya mata.


Mekipun pelbagai pengalaman pahit dan manis di Hospital Bersalin KL namun ia tetap mendapat pujian majoriti mereka yang memilih untuk melahirkan di hospital berkenaan.
Cerita-cerita kononnya Hospital Bersalin KL memberi layanan buruk, jururawatnya garang dan tidak mesra serta doktor yang tiada pengalaman sudah pastinya disangkal bagi mereka yang pernah bersalin di situ.
Hakikatnya semua jururawat atau mak bidan yang bertanggungjawab menjaga di bilik bersalin akan sentiasa memastikan bakal ibu berada dalam keadaan selesa dan tidak berdepan kesakitan melampau semasa proses bersalin itu.
Malah mereka juga akan menawar beberapa kaedah untuk mengurangkan kesakitan termasuklah suntikan kurang sakit, sedutan gas dan epidural.

Tidak dinafikan ada masanya doktor pelatih akan mendapatkan bantuan jururawat yang lebih berpengalaman dalam proses kelahiran dan ia sekaligus membuktikan jururawat sentiasa bersedia membantu dalam apa jua keadaan tanpa sebarang rungutan.
Selain itu, jururawat yang didakwa kononnya garang dan tegas sebenarnya sangat prihatin sehingga sanggup menyuap biskut serta air milo kepada pesakit yang kepenatan melahirkan tanpa sebarang rungutan yang keluar daripada mulut jururawat ini.
Inilah yang dikongsikan seorang netizen apabila ketiga-tiga anaknya dilahirkan di Hospital Bersalin Kuala Lumpur pada 2013, 2014 dan 2016.
Malah katanya setiap pengalaman yang dilaluinya berbeza dan kenangan itu akan terus terpahat dan diceritakan kepada anak-anaknya suatu hari nanti.
Salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika melahirkan anak kedua iaitu pada 2014, doktor pakar tidak sempat untuk bersama-sama menyambut kelahiran dan ketika itu yang ada hanyalah doktor pelatih serta jururawat.
Dan jururawat itulah yang menyambut kelahiran bayinya dan menjaga dirinya yang sangat lemah dan kelaparan kerana tidak sempat makan malam.

“Jururawat atau lebih dikenali sebagai mak bidan di HKL bancuh milo dan suap biskut kerana saya terlalu lapar hingga menggigil waktu itu.
“Itulah pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana jasa baik mak bidan sangat membuatkan saya terharu.
“Kemudian masa bersalin anak ketiga pada 2016 saya sekali dapat bertemu dengan mak bidan yang sama kebetulan masuk ke bilik bersalin itu untuk meminjam alatan. Saya tanpa berlengah terus menegurnya meskipun tengah sakit kontraksi dan mengucapkan terima kasih atas jagaan yang diberikannya kepada saya 2 tahun lepas.
“Beliau yang terharu kerana saya masih mengingatinya sempat memeluk saya dan kemudian bertindak menjengah saya sepanjang proses bersalin di dalam bilik itu,” katanya menerusi posting di laman sosial yang menggunakan nama Ahak Msa.
Tambahnya, beliau sama sekali tidak bersetuju jika orang ramai mengutuk perkhidmatan yang disediakan di Hospital Bersalin KL dan menyifatkan ia sebagai antara yang terbaik dan berbaloi dengan bayaran yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan jasa dan khidmat yang diberikan.
WCH mula beroperasi sejak 1 September lalu secara berperingkat dan bangunan baharu lapan tingkat itu juga menggabungkan Institut Pediatrik dan Hospital Bersalin sedia ada di bawah satu bumbung.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]