
“Levi Pelepasan saya rasa ini, setakat ini tak ada laporan negatif sejak kita mulakan,” kata Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik pada sidang media Program Keretapi Sarong 2019 di Dataran Merdeka.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan memutuskan levi pelepasan dikekalkan dan kutipannya bermula 1 September lalu.
Dengan pengumuman terbaru itu, mereka yang terbang ke luar negara perlu membayar levi pelepasan antara RM8 dan RM150.
Pelancong yang menuju ke destinasi Asean menggunakan kelas ekonomi perlu membayar RM8, manakala levi RM50 dikenakan terhadap mereka yang terbang menggunakan kelas perniagaan dan pertama.
Mereka yang terbang ke destinasi bukan Asean akan dikenakan RM20 jika menggunakan kelas ekonomi, manakala mereka yang terbang menggunakan kelas perniagaan dan pertama perlu membayar RM150.
Dalam Bajet 2019, Putrajaya mencadangkan levi pelepasan ke atas semua penumpang pengangkutan udara yang meninggalkan negara itu dari 1 Jun, dengan berkata ia adalah untuk menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan 2019 pada April tetapi penguatkuasaannya ditangguhkan dari 1 Jun hingga 1 September.
Dalam perkembangan lain, Bakhtiar berkata jerebu yang melanda negara pada masa ini tidak akan menghalang pelancong datang ke Malaysia.
Beliau berkata masih ramai pelancong datang ke negara ini dan bukan Malaysia sahaja, malah jerebu juga berlaku di negara Asean.
“Ini satu fenomena kita tak dapat elakkan. Malah di Singapura ada jerebu.
“Tetapi tidak semua di Malaysia ada jerebu, saya baru balik dari Langkawi dan Pulau Pinang, ‘clear’,” katanya.