Tanya Jais, Mujahid enggan ulas khutbah Jumaat kutuk Syiah

Tanya Jais, Mujahid enggan ulas khutbah Jumaat kutuk Syiah

Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam itu berkata bukan beliau yang patut menjawab isu tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.
SERDANG:
Mujahid Yusof Rawa enggan mengulas lanjut berhubung khutbah Jumaat yang menyerang puak Syiah di masjid Selangor hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam itu berkata perkara itu perlu ditanya kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Bukan saya, itu perlu tanya pada Jais,” katanya yang enggan mengulas lanjut perkara itu ketika ditemui di Majlis Perasmian Halfest Jakim 2019 edisi ke-8.

FMT sedang mendapatkan reaksi Jais.

Semalam, pengkritik membidas tindakan terbaru pihak berkuasa yang menyasarkan minoriti agama menerusi ucapan kebencian selepas masjid di Selangor diarahkan menyampaikan khutbah yang menyerang puak Syiah untuk jemaah Jumaat hari ini.

Khutbah itu yang disediakan Jais menjelang peristiwa penting Syiah pada minggu depan, menyifatkan kepercayaan dan amalan Syiah sebagai sesat, jelek, karut dan meloyakan.

Dr Ahmad Farouk Musa yang mengetuai kumpulan pembaharuan Islam, Islamic Renaissance Front berkata khutbah itu sama dengan ucapan kebencian terhadap minoriti agama.

Salinan khutbah Jumaat yang dilihat FMT antara lain menggesa umat Islam menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa serta melaporkan sesiapa saja yang mengikuti amalan Syiah.

Khutbah itu disediakan menjelang 10 Muharram pada minggu depan, hari memperingati peristiwa pembunuhan Sayyidina Hussain, cucu Nabi Muhammad yang juga merupakan tokoh penting dalam kalangan pengikut Syiah.

Fatwa sudah dikeluarkan di kebanyakan negeri yang mengisytiharkan Syiah sebagai sesat, manakala masjid di Selangor sudah bertahun menyelitkan doa mengutuk ajaran itu ketika khutbah Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.