
Eddin Khoo, pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia (Pusaka) berkata, banyak pihak kini berasa “bengang” dengan sistem pendidikan negara kerana mereka mempunyai harapan tinggi untuk melihat satu rombakan besar akan berlaku.
“Tetapi sudah satu tahun tidak ada perbincangan pun tentang buku teks, kedudukan dasar pendidikan negara, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengetahuan.
“Buku teks pun banyak fakta salah. Soalan tak masuk akal ditanya dalam peperiksaan. Ini siapa punya kerja?
“Kita faham masalahnya sangat rumit. Kita juga berdepan isu perguruan, latihan perguruan, buku teks dan kurikulum.
“Semua harus dikaji semula dan dirombak. Semua persoalan ini harus ditangani,” katanya kepada FMT baru-baru ini di pejabat Pusaka di sini.
Pusaka merupakan sebuah pertubuhan kebudayaan yang berusaha mendokumentasi dan menghidupkan kembali seni persembahan dan tradisi kebudayaan tempatan serta serantau.
Pada 22 Disember tahun lepas, Mahathir berkata, sekolah kebangsaan dilihat lebih menekankan mata pelajaran agama, menyebabkan lepasan sekolah kurang menguasai pelajaran yang berguna untuk dunia pekerjaan.
Mahathir dilaporkan berkata, mutu pendidikan di sekolah kebangsaan menurun antaranya kerana kualiti guru dan kurikulum gagal mengimbangi subjek agama dan mata pelajaran lain.
Eddin yang juga pengerusi Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (PPDUEC) berkata, masalah yang wujud menyebabkan orang ramai hilang keyakinan kepada sekolah aliran kebangsaan.
Katanya, lebih parah lagi sistem pendidikan kita membenarkan kewujudan beraneka ragam sekolah seperti sekolah antarabangsa, sekolah persendirian, sekolah persendirian Cina, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah kebangsaan, selain sekolah dari rumah.
“Semuanya wujud dalam sistem kita. Jadi untuk menuduh sekolah jenis tertentu membawa masalah kepada negara atau semua murid perlu mengikuti satu aliran tunggal adalah terlalu awal sehingga masalah yang dihadapi dalam sistem pendidikan kebangsaan diatasi,” katanya.
Beliau yang mendapat pendidikan dalam aliran kebangsaan berkata, isu sekolah kebangsaan tidak perlu diretorikkan atau dipolitikkan.
“Jangan hanya tersangkut pada retorik bahawa kita harus setia pada sekolah kebangsaan. Dari segi kewarganegaraan, idealisme itu bagus, tetapi sebagai ibu bapa, saya tak yakin anak-anak saya akan mendapat pendidikan sepatutnya di sekolah kebangsaan dan saya ada pilihan sama ada hendak menghantar mereka ke sana,” katanya.