Video viral anak AR Badul ditembak belum disahkan, kata polis

Video viral anak AR Badul ditembak belum disahkan, kata polis

Polis berkata, mereka mula mengambil keterangan individu yang hadir dan terbabit dalam demonstrasi peluru hidup di Kem Kok Lawi semalam.

Mejar Mohd Zahir Armaya ditembak ketika memainkan watak pengganas dalam latihan demonstrasi keupayaan sempena gimik pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU:
Polis mula mengambil keterangan individu yang hadir dan terbabit dalam demonstrasi peluru hidup di Kem Lok Kawi semalam yang meragut nyawa Mejar Mohd Zahir Armaya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Penampang, Haris Ibrahim tidak memberi butiran lanjut, termasuk sama ada penembak sudah ditahan untuk membantu siasatan.

“Kami masih menyiasat perkara itu, tetapi saya tidak boleh beritahu anda lebih banyak butiran ketika ini. Biar kami selesaikan siasatan baru kami akan panggil media,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ditanya mengenai satu rakaman video didakwa daripada kejadian tembakan itu yang tersebar di media sosial, Haris berkata: “Video itu belum disahkan…sesiapa saja boleh dakwa ia adalah kejadian itu.”

Semalam, Haris dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai.

Zahir yang merupakan anak kepada pelakon dan pelawak veteran, AR Badul, ditembak pada 8.25 pagi semalam ketika menyertai latihan demonstrasi keupayaan menggunakan peluru hidup sempena gimik pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, dekat sini.

Zahir yang dikatakan memakai jaket kalis peluru, memainkan watak pengganas dalam demonstrasi itu.

Beliau menembak seorang lagi anggota tentera yang merupakan sebahagian daripada latihan itu dan mereka berbalas tembakan sebelum Zahir tiba-tiba rebah, menyebabkan pegawai lain segera bergegas memeriksa keadaannya.

Beliau dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu dan meninggal dunia pada 9.20 pagi semalam.

Mayat Zahir pada awalnya dibawa Masjid As-Salam di Kem Lok Kawi untuk disembahyangkan sebelum diterbangkan ke Perak untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya, Nour Shafinar Harun di Tambun, semalam.

Zahir, 36, yang merupakan anggota komando 11 Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang di Melaka, meninggalkan seorang balu dan 5 anak berusia 5 bulan hingga 9 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.