Ia bukan ceramah, Exco Melaka pertahan solat jemaah babit Zakir Naik

Ia bukan ceramah, Exco Melaka pertahan solat jemaah babit Zakir Naik

Exco Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata program itu bukan dianjurkan atas platform politik dan tidak membabitkan kerajaan Melaka.

Zakir Naik dipelawa menyertai program ‘Malam Islam Bersatu’ di Masjid Cina Krubong, Melaka, pada 7 September ini.
PETALING JAYA:
Exco Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen mempertahankan program solat berjemaah dan ibadah sunat yang akan disertai Dr Zakir Naik di sebuah masjid hujung minggu ini kerana pihak berkuasa hanya melarang pendakwah kontroversi itu berceramah di negeri itu.

Rafiq yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkata, beliau menganjurkan program itu atas kapasitinya sebagai pengerusi Masjid Cina Melaka, bukannya wakil kerajaan.

Katanya, program itu juga bukannya dianjurkan atas platform politik dan tidak membabitkan kerajaan negeri.

“Kerajaan Melaka dan polis hanya melarang ceramah oleh Naik dan bukannya aktiviti solat atau bacaan yasin dan ibadah sunat lain di masjid,” tulisnya di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Rafiq berkongsi poster program “Malam Islam Bersatu” di laman sosialnya yang memaklumkan Naik akan menghadiri solat berjemaah dan ibadat sunat di Masjid Cina Krubong, Melaka, pada 7 September ini.

Hari ini, Rafiq turut mengkritik bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron yang mempersoalkan keputusannya mengundang Naik ke program itu.

Mohd Rafiq Naizamohidee.

“Hendak anjur program agama sekarang kena jadi ketua menteri dahulu ke? Undang-undang mana yang dia rujuk?

“Jelas Idris cuba melaga-lagakan saya dengan ketua menteri Melaka dan menjadi batu api atas program ibadah yang saya anjurkan.

“Beliau cuba ‘divert’ isu dan lari dari perkara pokok.

“Mana jati diri Idris sebagai pemimpin Islam? Beliau berniat jahat dan cuba menangguk di air yang keruh.”

Idris yang juga Adun Sungai Udang sebelum ini memuat naik sekeping gambar disunting bersama laporan berita memetik Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebagai berkata, Naik akan terus diharamkan berceramah di negeri itu susulan kontroversi akibat ceramahnya di Kelantan bulan lalu.

Naik disiasat Bukit Aman bulan lalu selepas beratus laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya dalam ceramah di Kota Bharu yang mendakwa penganut Hindu lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendran Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad dan kaum Cina di Malaysia ialah “tetamu lama”.

Naik kemudiannya memohon maaf terhadap salah faham yang timbul, tetapi beliau tetap mempertahankan kenyataannya dipetik luar konteks.

Hari ini, polis Bukit Aman dilaporkan berkata, siasatan ke atas Naik sudah selesai dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut Jabatan Peguam Negara.

Pada 19 Ogos lalu, Adly mengumumkan Naik dilarang berceramah di Melaka demi menjaga menjaga keharmonian rakyat negeri itu.

Keesokannya, polis melaksanakan larangan menyeluruh ke atas program berkaitan Naik di seluruh negara atas faktor keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.