
Zouhair Rosli dari firma penyelidikan DM Analytics meminta Putrajaya mengambil maklum bahawa kemiskinan adalah relatif kepada keadaan ekonomi umum dalam sesebuah masyarakat pada satu-satu masa.
Jika kerelatifan diambil kira, maka kadar kemiskinan Malaysia adalah 16%, bukannya 0.4% seperti direkodkan dalam statistik rasmi.
“Kita tidak bercakap mengenai keadaan di negara paling miskin di dunia, di mana kemudahan air bersih pun hampir tidak ada,” katanya.
Katanya, dalam keadaan Malaysia hari ini, seseorang yang tidak memiliki set televisyen atau kereta pun boleh dianggap miskin.
“Jika kita bercakap tentang tahun 60-an atau 70-an, memang TV dan kereta merupakan barang mewah, tetapi hari ini ia bukan lagi barang mewah.
Minggu lepas, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan dan hak asasi manusia, Philip Alston mempertikaikan dakwaan kerajaan bahawa ia telah hampir menghapuskan kemiskinan dengan berkata, “kadar kemiskinan benar” Malaysia ialah kira-kira 15%.
Berikutan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji laporan yang dipetik oleh Alston dan akan menyemak semula pengukuran kemiskinannya jika perlu.
Zouhair berkata, beliau membuat kajian bersama-sama Unicef dan mendapati 7% isi rumah di flat kos rendah di Kuala Lumpur hidup dalam kemiskinan, sedangkan statistik rasmi mencatatkan kadar kemiskinan di bandar raya itu adalah 0%.
“Kami tidak berkata bahawa kadar kemiskinan di KL sepatutnya 7%, tetapi pendapatan garis kemiskinan (PLI) kita sekarang adalah terlalu rendah sehinggakan satu kelompok besar dalam masyarakat kita, terutama di bandar besar, didapati terkeluar daripada statistik rasmi,” katanya.
PLI Malaysia pada paras AS$5 sehari adalah AS$3.75 lebih tinggi daripada matlamat pembangunan mampan yang ditetapkan oleh PBB, tetapi Zouhair berkata, tujuan PBB itu ialah untuk mendasarkan garis kemiskinan di negara miskin.
Beliau berkata, Bank Dunia meletakkan Malaysia dalam senarai negara berpendapatan pertengahan tinggi, justeru PLI negara sepatutnya lebih tinggi daripada nilai ambang PBB.
Katanya, PLI Malaysia adalah jauh lebih rendah daripada PLI di beberapa negara berpendapatan pertengahan tinggi.
“Ambil Hungary sebagai contoh. KDNK perkapitanya lebih rendah sedikit daripada Malaysia, tetapi PLI negara itu (AS$/hari) hampir 2 kali lebih tinggi bagi keluarga 4 orang.”
Zouhair menggesa supaya digunakan pengukuran kemiskinan relatif dalam statistik rasmi bagi memastikan usaha Malaysia menjadi negara maju ditaksir secara lebih realistik.
Beliau berkata, ia merupakan kaedah pengukuran yang digunakan oleh negara anggota Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
“Kita tidak boleh mengetepikan isi rumah yang terdedah kepada risiko dan terpinggir dalam pengukuran kita kerana perkara yang gagal diukur biasanya kekal tidak ditangani,” katanya.
Pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma menyokong gesaan Zouhair dengan berkata, banyak isi rumah yang kini berada di atas garis kemiskinan rasmi sangat terdedah untuk jatuh miskin.
“Jika kita gunakan RM980 sebagai pendapatan garis kemiskinan, maka kelas menengah rendah tidak termasuk dalam golongan miskin, tetapi mereka berisiko untuk menjadi miskin,” katanya.
“Berbeza dengan golongan miskin dan lain yang termasuk dalam kelompok B40, isi rumah kelas menengah rendah tidak layak mendapat faedah daripada semua program mengurangkan kemiskinan.