
Katanya, walaupun garis kemiskinan adalah RM2,208, agensi kerajaan berlainan mengguna pakai tahap pendapatan berbeza-beza bagi menentukan mereka yang layak menerima bantuan.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan tahap pendapatan RM980 sebulan sebagai rujukan, manakala agensi seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan e-Kasih pula masing-masing RM4,000 serta RM1,500.
“Saya fikir perlu ada penyelarasan semula garis kemiskinan bagi keseluruhan agensi-agensi kerajaan,” katanya.
Bercakap kepada FMT, Maria berkata ini akan memastikan pengagihan bantuan dengan lebih baik seterusnya membolehkan kerajaan mengenal pasti dengan lebih tepat golongan yang memerlukan pertolongan.
Garis kemiskinan sedia ada ditetapkan Jabatan Perangkaan pada 2019.
Sementara itu, Maria menyentuh kekurangan jaringan keselamatan kukuh bagi membantu mereka yang memerlukan, dalam webinar anjuran Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia.
“Di Malaysia, jaringan keselamatan kita sangat cetek. Banyak bantuan diberikan namun kita tidak pasti mengenai kesannya, atau sama ada ia sampai kepada individu yang sewajarnya,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak serta warga emas berasaskan komuniti.
“Jika kerajaan mahukan lebih ramai tenaga kerja wanita, maka ia perlu menyelesaikan masalah-masalah ini,” katanya.
Sementara itu, pakar sosiologi UKM Denison Jayasooria dalam webinar sama menyuarakan kekecewaan berhubung kekurangan tekanan terhadap tadbir urus baik serta pembaharuan institusi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang kini sedang dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ketika membentangkan RMK12 semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata ia menyasarkan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama, perlindungan alam sekitar dan pembangunan mapan.