
Siti Hadijah Che Mat daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, ramai orang segan berkongsi maklumat sedemikian sehingga ada yang memberikan data tidak lengkap atau palsu.
“Kadangkala responden rasa pendapatan mereka terlalu kecil, atau (mereka) enggan lapor aliran pendapatan sampingan.
“Malah, ada yang mungkin sengaja menokok tambah (angka pendapatan) kerana rasa malu,” katanya pada Forum Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI).
Siti Hadijah turut berkata, data yang tidak tepat akan menyebabkan dasar awam tidak berkesan dilaksanakan.
Justeru, beliau menekankan, para petugas bancian harus peka terhadap cara soalan diajukan kerana ia berpotensi mempengaruhi maklum balas responden.
Menurutnya, terdapat beberapa kes di mana responden mengeluh tentang tempoh soal selidik yang panjang atau sifat soalan yang dianggap menceroboh privasi.
Dalam pada itu, Siti Hadijah menyatakan, pemilihan indikator MPI seharusnya berlandaskan realiti pada peringkat akar umbi, bukan sekadar bersandarkan kepada takrifan piawai.
“Kita perlu mentakrifkan maksud sebenar ‘kekurangan’ dalam konteks komuniti terbabit,” katanya, memetik pendidikan sebagai contoh.
“Pada usia berapa lazimnya pembelajaran formal terhenti dalam kalangan penduduk luar bandar? Hal ini faktor penentu dalam mentakrifkan golongan dianggap alami kekurangan.”
Beliau turut menegaskan, pembangunan MPI yang efektif menuntut jalinan kerjasama dengan pihak kementerian dan wakil komuniti, meliputi masyarakat peribumi serta para ibu tunggal, demi menjamin data yang diperoleh benar-benar melambangkan keadaan sebenar golongan miskin.
Katanya, walaupun garis kemiskinan hanya mengklasifikasikan isi rumah berasaskan pendapatan, skop MPI melangkaui batasan itu.
“MPI mengukur kemiskinan dalam konteks yang lebih menyeluruh, yang turut mengambil kira aspek pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup.”