Pemandu teksi di Afrika Selatan pecah masuk, bakar kedai peniaga asing

Pemandu teksi di Afrika Selatan pecah masuk, bakar kedai peniaga asing

Ia selepas seorang rakyat Nigeria melepaskan tembakan yang meragut nyawa seorang pemandu teksi tempatan.

Anggota polis dikerahkan untuk mengawal keadaan di kawasan yang mengalami kekacauan di Pretoria, Afrika Selatan. (Gambar Twitter)
PRETORIA:
Sekumpulan pemandu teksi yang marah memecah masuk dan mencuri barang dalam beberapa kedai milik rakyat asing sebelum membakar premis terbabit di ibu kota Afrika Selatan pada Rabu, selepas seorang warga asing didakwa membunuh rakan mereka sehari sebelumnya, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Kejadian itu berlaku ketika rusuhan yang menyaksikan pemandu teksi turun ke jalanan di Pretoria pada Selasa untuk berdepan pengedar dadah, apabila seorang rakyat Nigeria melepaskan tembakan yang meragut nyawa seorang pemandu teksi.

Keesokannya, kumpulan pemandu teksi itu disertai perusuh yang terdiri daripada penduduk Afrika Selatan mula memecah masuk dan mencuri barangan di dalam kedai milik rakyat asing, terutama dari Nigeria.

“Saya sudah mengarahkan pegawai saya melakukan siasatan rapi, terutama pihak yang terlibat dalam jenayah semasa rusuhan ini seperti memecah masuk dan mencuri barangan dalam kedai serta membakar bangunan,” kata Pesuruhjaya Polis Gauteng, Elias Mawela kepada pemberita di Pretoria.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 7 kedai dibakar, manakala beberapa lagi dipecah masuk dan barangan dicuri.

Polis melepaskan tembakan peluru getah dan bom tangan gegaran atau “stun grenade” bagi menenangkan keadaan ketika beberapa kumpulan pemandu teksi mengancam untuk menyerang dan menggantung pemilik kedai warga asing di ibu kota itu.

Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran ketika penduduk dilihat mengangkut barang dari kedai terbabit, termasuk barang runcit dan peralatan elektrik.

Awal bulan lalu, polis dilaporkan berkata, perusuh di Afrika Selatan memecah masuk dan mencuri barang dalam beberapa kedai milik warga asing di pinggir Johannesburg, bandar terbesar di negara itu, selepas mendakwa orang asing tidak menghormati undang-undang tempatan.

Susulan itu, beberapa kedai milik rakyat asing di perbandaran Soweto turut dipecah masuk dan pemiliknya yang mengadu kehilangan semua barang mereka, mengutuk tindakan itu.

“Kami sudah bosan dianiaya, apabila seorang rakyat asing melakukan kesalahan, kami dihukum secara kolektif. Ini adalah sesuatu yang tidak adil,” kata peniaga tempatan, Malik Majid kepada Anadolu.

Polis berkata, mereka sedang memantau situasi itu dan anggota dikerahkan ke kawasan yang mengalami kekacauan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.