Saya malu tandas awam di Malaysia busuk dan kotor, kata PM

Saya malu tandas awam di Malaysia busuk dan kotor, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu memberi gambaran rakyat kurang kesedaran sivik dalam menjaga kebersihan.

Dr Mahathir Mohamad menyerahkan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni dalam kalangan Pelajar Sekolah Menengah kepada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik di Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad yang malu dengan tandas awam di Malaysia kotor dan busuk berkata, keadaan itu memberi gambaran rakyat kurang kesedaran sivik dalam menjaga kebersihan.

“Saya amat malu kerana sering kali buat pemeriksaan tandas di Malaysia, hendak lihat sama ada bersih atau tidak, biasanya tidak (bersih) dan berbau busuk. Sepatutnya kita berasa malu.

“Kita berpendapat tidak akan ada orang tahu siapa buat. Ini terjadi kerana tidak ada perasaan tanggungjawab sivik dalam hati,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik di Puspanitapuri hari ini.

Perdana menteri berkata, keadaan itu berbeza dengan tandas awam di negara lain yang sentiasa bersih dan tidak berbau busuk.

“Ia bersih kerana penggunanya tidak kotorkan keadaan. Mereka rasa bertanggungjawab dan menghargai pandangan masyarakat terhadap diri. Mereka akan menjaga diri supaya keadaan tandas sentiasa bersih.”

Beliau turut mengkritik sikap segelintir individu menconteng dinding bangunan atau melukis grafiti yang mencemarkan keindahan kawasan sekeliling.

“Sekarang kita lihat grafiti, conteng di dinding dan macam-macam tidak cantik pun. Kalau dia conteng cara yang baik tidak mengapalah, tetapi ini hanya mencemarkan kebersihan dinding dalam bandar.”

Katanya, jika mentaliti sivik berjaya diterap dalam kalangan generasi muda, sudah tentu mereka mampu mengawal diri daripada bertindak sedemikian.

Dalam perkembangan lain, Mahathir memuji sikap rakyat, khususnya anggota keselamatan yang bertungkus lumus membantu misi mencari dan menyelamat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sejak 4 Ogos lalu.

“Hari ini kita dengar berkenaan seorang wanita Inggeris yang hilang dan kita lihat ada yang sanggup ketepikan perayaan, hari raya haji untuk mencari wanita yang hilang. Ini menunjukkan pegangan nilai sivik yang tinggi dalam kalangan kita.”

Nora yang mengalami masalah pembelajaran tiba di Malaysia pada 3 Ogos lalu bersama keluarganya untuk percutian 2 minggu di sebuah resort di Seremban, Negeri Sembilan.

Remaja itu disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada 8 pagi keesokannya.

Operasi SAR yang memasuki hari ke-10 hari ini membabitkan 313 anggota.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman dilaporkan berkata, polis dari Ireland, England dan Perancis tiba di Malaysia minggu lalu untuk membantu siasatan kes Nora.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.