
Menurut kenyataan MBPP hari ini, semua tiga premis itu dikenakan tindakan penutupan serta-merta selama 14 hari berkuat kuasa semalam hingga 3 Sept ini.
Operasi itu dijalankan Jabatan Pelesenan MBPP bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengesan pematuhan pelesenan ditetapkan MBPP seperti lesen perniagaan sah laku tempoh, kebersihan premis, pematuhan pengendali makanan dan sebagainya.
“Tindakan itu mengikut Undang-undang Kecil 38 (1) Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991 berikutan tahap kebersihan premis yang kurang memuaskan, iaitu berada bawah standard ditetapkan dan penemuan najis tikus di kawasan stor, penyimpanan makanan beku dan dapur.
“Sebanyak 14 kompaun dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil 12 (1), Undang-undang Kecil Pengendali Makanan MPPP 1983 kerana tidak mendapatkan atau gagal mengemukakan kad pelalian atau suntikan antitifoid ketika pemeriksaan dijalankan,” menurut kenyataan.
KPDN Pulau Pinang juga mengeluarkan kompaun terhadap sebuah premis makanan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal memaparkan harga caj bagi perkhidmatan dalam ringgit atau sen.
Sebuah lagi premis makanan dikenakan kompaun bawah Akta Timbang Sukat 1972 Seksyen 14(6) atas kesalahan menggunakan atau memiliki timbang yang tidak disahkan bagi tujuan perdagangan.