Saman Zahid kerana babit nama baik, kata Dr M

Saman Zahid kerana babit nama baik, kata Dr M

Bekas perdana menteri itu berkata nama baik 'amat berharga'.

mahathir zahid
Dr Mahathir Mohamad menyaman Zahid Hamidi yang didakwa menyebut nama ‘Kutty’ untuk menghinanya.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad kata beliau memfailkan saman fitnah terhadap Zahid Hamidi kerana ia membabitkan nama baiknya.

Mahathir beritahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau memutuskan untuk menyaman Zahid selepas presiden Umno itu membuat ‘kata-kata yang menghina’, kerana dirinya seorang ahli politik dan pemimpin sebuah parti politik ketika itu.

“Pernyataan fitnah itu mengenai saya dan bukannya penjual kacang putih di tepi jalan,” kata bekas perdana menteri itu ketika pemeriksaan balas oleh peguam Zahid, Shahrul Fazli Kamaruzman.

Menurut Mahathir, kenyataan Zahid itu seolah-olah dirinya seorang Hindu yang memeluk Islam.

Mahathir, 99, menyaman Zahid yang didakwa menyebut nama ‘Kutty’ untuk menghinanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir berkata Zahid membuat kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu pada mesyuarat Umno bahagian di Kelana Jaya, Selangor pada 30 Jul 2017.

Mahathir dakwa kenyataan itu membayangkan dirinya bukan dilahirkan sebagai Melayu atau Islam, dan nama asalnya ialah ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Kenyataan itu juga didakwa membayangkan bahawa nama ‘Mahathir Mohamad’ digunakan untuk mengaut keuntungan buat dirinya, secara politik dan peribadi.

Menurut Zahid dalam kenyataan pembelaannya, berkata nama itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat yang terkandung dalam satu salinan kad pengenalan lama.

Hari ini, Mahathir menafikan cadangan Shahrul bahawa beliau memutuskan untuk memfailkan saman pada Jul 2022, selepas Zahid enggan memohon maaf dan membayar RM50 juta, seperti yang dinyatakan dalam surat tuntutan yang dihantar tiga bulan sebelum itu.

Mahathir berkata peguamnya mengemukakan angka itu kerana kenyataan Zahid telah ‘memusnahkan’ nama baiknya.

“Nama baik ‘amat berharga’,” katanya.

Menurut Mahathir, beliau berharap Zahid akan memohon maaf berhubung kejadian itu. “Saya memfailkan saman itu apabila dia gagal menjawab,” katanya.

Shahrul: Sebagai jawapan kepada surat tuntutan kamu, defendan (Zahid) berkata dia tidak memfitnah kamu tetapi sekadar menerangkan latar belakang nenek moyang kamu.

Mahathir: Itu tanggapan beliau tetapi tanggapan saya berbeza.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.