
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Halim atas alasan saman yang difailkan pada 2023 itu terhalang oleh had masa.
Hakim Supang Lian, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, saman Halim merupakan kes yang terang-terangan wajar ditolak.
Panel itu turut dianggotai Hakim Lim Chong Fong dan Hakim Alwi Wahab.
Mahkamah memerintahkan Halim membayar kos RM20,000 kepada pihak defendan, yang termasuk bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.
Dalam saman itu, Halim mendakwa Mahathir dan Nor Mohamed ‘memaksanya’ melepaskan pegangan dalam Renong-UEM, beserta semua hak yang ada padanya, tanpa pampasan yang wajar lebih 23 tahun yang lalu.
Mahathir merupakan perdana menteri dari Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan sekali lagi dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
Halim mendakwa, Mahathir dan Nor Mohamed merupakan ‘penggerak utama pemerolehan dan pelucutan hak tersebut’.
Pegangan itu dikatakan merangkumi 372 juta saham dan mewakili 16% daripada keseluruhan modal saham Renong Bhd.
Menurut Halim, saham-saham tersebut, yang diambil alih oleh cabang pelaburan kerajaan Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikatnya pada 2001, ialah miliknya secara peribadi, bukan milik Umno, suatu fakta yang diakui oleh Anwar Ibrahim di Parlimen pada 24 Nov 1997.
Pada masa itu, Anwar ialah timbalan Mahathir dan juga menteri kewangan serta timbalan presiden Umno.
Halim mendakwa, UEM pada ketika itu memegang 32.6% kepentingan dalam Renong, manakala Renong memegang 37.92% saham dalam UEM.
Saman itu menuntut sejumlah pampasan yang tidak dinyatakan atau ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan untuk dinilai oleh mahkamah, beserta faedah dan kos.
Mahkamah Tinggi telah membatalkan saman itu pada Mei tahun lepas.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar tampil mewakili Halim, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili Mahathir, Mohamed dan kerajaan.