
Hakim memberi kebenaran kepada polis menahan Philip Manshaus, 21, selama 4 minggu ketika dia disoal siasat berhubung dakwaan membunuh dan pelanggaran undang-undang anti-keganasan.
Manshaus, yang tersenyum kepada jurugambar, mengaku tidak bersalah, kata peguamnya.
Para saksi berkata Manshaus memasuki Pusat Islam al-Noor dengan beberapa pistol, tetapi ditumpaskan oleh seorang kariah masjid berusia 65 tahun, yang berjaya merampas senjatanya ketika bergelut.
Manshaus memakai helmet berkamera bagi merakam tembakannya, tetapi tidak menyiarkan rakaman serangan itu, menurut pendakwa raya.
“Video ini merupakan bukti utama,” kata peguam polis Paal-Fredrik Hjort Kraby.
Manshaus, yang tinggal berdekatan masjid di luar ibu negara Norway itu menyatakan pandangan haluan kanan dan anti-imigran sebelum serangan, kata polis.
Kiriman atas talian menggunakan nama Manshaus, dibuat sejurus sebelum serangan itu, menyatakan kekaguman terhadap pembunuhan beramai-ramai lebih 20 umat Islam di 2 masjid di New Zealand pada Mac oleh supremasi kulit putih yang merakam dan menyiarkan pembunuhan itu secara langsung di internet.
Reuters tidak dapat mengesahkan kiriman online itu dibuat Manshaus.
Beberapa jam selepas serangan masjid di Norway, polis menemui mayat gadis di kediaman suspek. Polis kemudian mendedahkan mangsa sebagai adik tiri suspek, Johanne Zhangjia Ihle-Hansen.
Johanne, 17, dijadikan anak angkat ketika dia masih bayi oleh seorang wanita Norway yang kini menjadi ibu tiri Manshaus, kata peguam ibu mangsa.
“Ini adalah 2 tragedi, 1 dengan gadis ini dan 1 lagi dengan masjid. Saya mewakili ibu gadis itu,” katanya.