
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Abu Bakar Jais memutuskan bahawa rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan pertuduhan membunuh terhadap mereka adalah tidak berasas.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa ketiga-tiga tertuduh mempunyai sebarang motif untuk mencederakan Nazrin.
“Kami mengakui kes pendakwaan bergantung kepada keterangan keadaan (circumstantial evidence), namun kami berpendapat ia tidak mencukupi untuk membuktikan pertuduhan terhadap mereka,” katanya.
Hakim lain yang mendengar rayuan itu ialah Hakim Rhodzariah Bujang dan Hakim Nordin Hassan.
Samirah, dua individu lain yang ketika itu masih remaja, serta pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, telah didakwa membunuh Nazrin di rumah keluarga itu di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022 membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya.
Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2024.
Samirah dan dua individu tersebut diwakili oleh peguam Shafee Abdullah dan Rahmat Hazlan, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asnawi Abu Hanipah dan Amril Johari.