Kerajaan pemegang saham terbesar dalam syarikat pembuat kereta nasional ke-3, kata Wee

Kerajaan pemegang saham terbesar dalam syarikat pembuat kereta nasional ke-3, kata Wee

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berbohong dengan mendakwa projek tersebut tidak melibatkan dana awam.

Presiden MCA Wee Ka Siong.
PETALING JAYA:
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, dakwaan Putrajaya bahawa projek kereta nasonal terbaru tidak melibatkan dana awam adalah satu pembohongan kerana kerajaan persekutuan masih merupakan pemegang saham terbesar dalam DreamEDGE Sdn Bhd, syarikat yang mengepalai projek berkenaan.

Dalam kenyataan di Facebook, Wee menghalakan kritikannya kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang sebelum ini berkali-kali mengatakan projek berkenaan dibiayai oleh pihak swasta.

Beliau berkata, pemegang saham terbesar dalam DreamEDGE adalah syarikat bernama Venturetech Sdn Bhd, yang 100% dimiliki oleh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Tekologi Tinggi (Might).

“Might pula adalah syarikat 100% milik kerajaan Malaysia.”

Memetik fakta bahawa modal berbayar DreamEDGE adalah sebanyak RM12.4 juta sehingga 2018 dan mengalami kerugian pada tahun lepas, Wee menyuarakan keraguannya sama ada syarikat berpangkalan di Cyberjaya itu mempunyai kekuatan kewangan untuk membiayai pelaburan besar dalam projek kereta nasional ke-3 itu.

“Saya pasti suntikan dana ini akan datang daripada pemilik saham terbesar syarikat itu, iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PH).”

Terdahulu hari ini, diumumkan bahawa DeamEDGE akan membangunkan kereta nasional ke-3 itu dengan kerjasama Daihatsu Motors di Jepun, yang bakal menyaksikan model pertamanya siap pada 2021 dan pengeluaran bermula pada 2031.

Pengumuman tersebut menamatkan spekulasi mengenai pihak yang akan membiayai projek kereta terbaru itu selepas lebih setahun berlangsungnya debat sama ada kerajaan harus melibatkan diri dalam industri kereta berikutan pengalaman buruknya dengan Proton, projek kereta nasional pertama Malaysia, sebelum ini.

DreamEDGE menjangka model pertamanya siap pada Mac tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.