Hospital beri kontrak katering RM25.6 juta kepada syarikat tiada sijil halal

Hospital beri kontrak katering RM25.6 juta kepada syarikat tiada sijil halal

Syarikat itu juga gagal penilaian teknikal kerana tidak berpengalaman serta kekurangan pramusaji dan troli sedia makanan kepada pesakit.

hospital canselor Tuanku muhriz
LKAN 2/2025 dapati sebuah syarikat yang tidak mempunyai sijil halal diberi tender bekal makanan kepada pesakit di HCTM dari Februari 2024 hingga Februari 2027. (Gambar Website)
PETALING JAYA:
Audit kerajaan mendedahkan bahawa Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menganugerahkan kontrak katering tiga tahun bernilai RM25.64 juta kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendapati syarikat itu, yang dikenal pasti sebagai 0267299-T, memperoleh tender untuk membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM dari Februari 2024 hingga Februari 2027.

Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian dengan status Dapur Utama yang telah mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.

Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendapati jawatankuasa penilaian teknikal HCTM tidak mengesyorkan 0267299-T kerana gagal dalam penilaian teknikal, disebabkan ketiadaan sijil halal dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP)

Menurut jawatankuasa, syarikat itu juga gagal dalam penilaian teknikal kerana tidak berpengalaman serta tidak mempunyai bilangan pramusaji dan troli makanan yang mencukupi untuk pesakit.

Audit mendapati jawatankuasa penilaian teknikal menilai 12 pembida, dengan markah lulus ditetapkan pada 85% dan ke atas. Hanya dua pembida lulus penilaian teknikal, manakala 0267299-T adalah antara 10 syarikat yang gagal, hanya memperoleh 53%.

Bagaimanapun, syarikat itu akhirnya dipilih kerana memenuhi kriteria jawatankuasa penilaian kewangan, menurut laporan audit.

Sebagai respons, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menyelia HCTM berkata, kontrak syarikat terdahulu untuk membekalkan makanan kepada pesakit hampir tamat dan jawatankuasa perolehan tender bersetuju meneruskan tender itu kerana perkhidmatan ini ‘tidak boleh terputus’

UKM juga berkata, 0267299-T telah memohon pensijilan HACCP pada 24 Sept 2024, tetapi proses audit hanya boleh dijalankan selepas kerja-kerja pengubahsuaian di HCTM selesai.

Lewat bekal peralatan perubatan

HCTM juga didapati menganugerahkan kontrak berasingan untuk pembekalan peralatan perubatan kepada sebuah syarikat yang tidak disyorkan oleh jawatankuasa penilaian teknikal kerana mesin pemecut linearnya (Linac), yang digunakan untuk rawatan kanser, gagal memenuhi keperluan integrasi dengan sistem sedia ada di HCTM.

Akibatnya, beberapa peralatan perubatan penting, termasuk mesin Linac, simulator CT (digunakan dalam terapi radiasi) dan ‘contrast injectors’ (digunakan untuk pengimejan dipertingkat) lewat dibekalkan.

Peralatan ini dijadualkan untuk dihantar sebelum 18 Sept tahun lepas. Ketika audit dijalankan, mesin Linac tersebut masih belum dihantar, mencatatkan kelewatan selama 122 hari.

“Kelewatan pembekalan peralatan LINAC, CT-Simulator dan mesin Contrast Injector mengikut tempoh yang ditetapkan menjejaskan perkhidmatan HCTM,” menurut laporan itu.

“Kelewatan memulakan rawatan telah memberi impak kepada ‘survival’ pesakit melibatkan 20 pesakit dengan tempoh menunggu antara satu hingga lapan minggu.”

Terdahulu, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, tiga tender UKM bernilai RM58.45 juta diberikan kepada syarikat yang tidak disokong oleh jawatankuasa penilaian.

Secara keseluruhannya, laporan itu mendapati terdapat masalah serius dalam cara lebih RM460 juta dana awam dibelanjakan untuk urus niaga tanah, tender universiti dan kontrak pertahanan.

Lima audit melibatkan tujuh kementerian telah dijalankan, merangkumi program, kegiatan dan projek bernilai RM48.873 bilion.

Sejumlah 22 syor audit telah dikemukakan kepada kementerian, jabatan dan syarikat terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.