
Azahar, 63, memangku tugas dan fungsi hakim besar Malaya berikutan persaraan Zaharah Ibrahim pada 16 Mei.
Azahar dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2014, dan mempunyai pengalaman luas di Jabatan Peguam Negara. Beliau juga merupakan hakim pengurusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2004 sebelum menjadi hakim Mahkamah Tinggi 2 tahun kemudian dan hakim Mahkamah Rayuan pada 2011.
Sumber juga memberitahu FMT bahawa Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Rahman Sebli dan Vernon Ong Lam Kiat akan dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan.
Empat hakim Mahkamah Tinggi – Ravinthran Paramaguru, Lee Swee Seng, Azizah Nawawi dan Vazeer Alam Mydin Meera – akan dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan manakala 7 pesuruhjaya kehakiman dalam percubaan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.
Mereka ialah Roslan Abu Bakar, Abdul Wahab Mohamed, Hassan Abdul Ghani, Chan Jit Li, Muhammad Jamil Hussin, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Mohamad Shariff Abu Samah.
Unit komunikasi korporat badan kehakiman dalam satu kenyataan berkata upacara angkat sumpah hakim besar Malaya, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi akan diadakan di Istana Kehakiman di Putrajaya pada petang Khamis.
Para hakim akan menerima surat pelantikan mereka dari Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara awal hari ini.
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mencadangkan nama para hakim untuk dinaikkan pangkat.
Di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Agong melantik hakim-hakim, termasuk pegawai-pegawai badan kehakiman atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.