
Semalam, pengarah urusan Lynas, Mashal Ahmad dan pengurus besar keselamatan radiasi, peraturan dan pematuhannya Ismail Bahari berkata, syarikat itu kini menimbang beberapa opsyen untuk menyimpan sisa penulenan air larut lesap (WLP), termasuk di kolam lombong yang tidak digunakan di negeri itu.
Mereka berkata, sebuah kemudahan simpanan kekal (PDF) boleh dibentuk bagi membantu memulihkan lombong terbiar di negeri Pahang, sekali gus “memberi manfaat kepada alam sekitar secara mapan,” sekiranya Putrajaya mahu PDF digunakan sebagai kaedah pengurusan sisa,.
Wong Tack bagaimanapun menyifatkan dakwaan syarikat nadir bumi itu sebagai keterlaluan.
“Melupuskan sisa radioaktif di lombong tinggal seumpama menghukum bunuh seorang mangsa rogol.
“Kita bukan memulihkan tanah terbabit, sebaliknya memusnahkannya untuk selama-lama,” kata ahli Parlimen Bentong itu yang merupakan pengritik lantang projek berkenaan dalam satu kenyataan.
Wong Tack seterusnya meminta kerajaan supaya berhenti “membenarkan salah laku”, selain menambah bahawa ia bertanggungjawab kepada rakyat.
Katanya, sudah tiba masanya bagi kerajaan menunaikan janjinya untuk melindungi kebajikan rakyat dan alam sekitar.
“Hentikan penghasilan lebih banyak sisa radioaktif di negara kita. Gantung lesen Lynas serta-merta dan setelah itu uruskan sisa berkenaan,” katanya.