
Lynas dalam kenyataan memaklumkan Lacaze akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun kewangan syarikat Jun ini.
Saham Lynas pada awalnya tidak terjejas dengan pengumuman itu, bahkan meningkat sehingga 3% sebelum menyusut sebahagiannya.
Lacaze yang dikenali dengan kelantangannya antara segelintir wanita memegang jawatan CEO dalam industri perlombongan.
Beliau menyelamatkan syarikat yang hampir tumbang pada 2014, dengan menjadikannya antara saham cemerlang dalam kalangan 50 firma terbesar tersenarai di bursa Australia.
Saham Lynas melonjak lebih dua kali ganda sepanjang tahun lalu, apabila mineral kritikal menjadi tumpuan dalam ketegangan geopolitik dan perdagangan.
Syarikat itu kini satu-satunya pembekal oksida nadir bumi ringan dan berat di luar China, memiliki sebuah lombong serta kemudahan pemprosesan di Australia Barat dan sebuah loji penapisan di Malaysia.
“Di bawah kepimpinan Lacaze, pengeluaran dan jejak operasi syarikat berkembang, manakala nilai pasaran kami meningkat daripada sekitar AUD400 juta (kira-kira RM1.08 bilion) pada 2014 kepada hampir AUD15 bilion (RM40.8 bilion),” kata Pengerusi Lynas, John Humphrey dalam kenyataan.
“Ini menjadi asas kukuh untuk pertumbuhan dan pembangunan berterusan syarikat.”
Nadir bumi digunakan dalam magnet kekal yang penting untuk pelbagai produk, termasuk telefon pintar, dron, motor kenderaan elektrik dan turbin angin.
Lynas sedang memperluaskan kapasiti pemprosesan nadir bumi berat di loji penapisan Malaysia bagi memenuhi permintaan semakin meningkat terhadap logam itu.