Anwar, Trump tandatangan perjanjian perdagangan perluas akses pasaran

Anwar, Trump tandatangan perjanjian perdagangan perluas akses pasaran

Antara syarat perjanjian itu adalah Malaysia tidak kenakan larangan atau kuota eksport mineral penting atau unsur nadir bumi ke AS.

Donald Trump Anwar Ibrahim ASEAN Summit
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Presiden AS Donald Trump di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani satu perjanjian dagangan timbal balik berskala luas yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.

Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump semasa pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, kedua-dua kerajaan berkata perjanjian itu akan memberikan pengeksport kedua-dua negara akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke pasaran masing-masing serta mengukuhkan hubungan ekonomi jangka panjang yang wujud sejak Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan 2004.

Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia komited memberikan akses pasaran utama yang besar bagi eksport barangan industri AS, termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang, selain eksport pertanian seperti tenusu, ayam dan beras.

AS pula akan mengekalkan tarif timbal balik sebanyak 19% terhadap barangan Malaysia, dengan beberapa produk menerima kadar tarif sifar peratus di bawah senarai rakan kongsi sejajar.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Malaysia akan tidak akan mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting atau unsur nadir bumi ke AS dan akan bekerjasama dengan firma Amerika bagi mewujudkan kepastian kepada perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Bagi perdagangan digital, Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi syarikat AS serta memastikan pemindahan data merentasi sempadan yang dipercayai dengan perlindungan sewajarnya.

Kedua-dua negara juga berikrar untuk mengamalkan dan mengekalkan tahap tinggi perlindungan alam sekitar, meningkatkan penguatkuasaan hak pekerja, serta memperkukuh kerjasama dalam keselamatan pelaburan, kawalan eksport dan usaha menentang barangan palsu.

Kenyataan itu menyebut bahawa Malaysia dan AS telah komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan keselamatan negara serta meningkatkan daya tahan dan inovasi rantaian bekalan.

Ia turut menambah bahawa Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perbendaharaan AS kini sedang berbincang bagi memuktamadkan persefahaman bersama mengenai dasar mata wang.

“Dalam minggu-minggu akan datang, AS dan Malaysia akan melaksanakan formaliti domestik sebelum perjanjian ini mula berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.