2 remaja tembak orang utan hingga buta didenda laung azan

2 remaja tembak orang utan hingga buta didenda laung azan

Remaja berumur 16 dan 17 tahun itu diarah melaungkan azan maghrib dan isyak di masjid atau madrasah di tempat tinggal mereka.

Tubuh Hope ditembusi 74 peluru senapang angin yang turut mengenai mata kiri dan kanannya sehingga ia mengalami buta kekal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua remaja dari Aceh, Indonesia yang menembak seekor orang utan betina yang diberi nama Hope sehingga buta dikenakan denda melaungkan azan maghrib dan isyak selama sebulan.

Kompas melaporkan remaja yang berumur 16 dan 17 tahun itu diarah melaungkan azan di masjid atau madrasah di tempat tinggal mereka di Desa Bunga Tanjung, Kecamatan Sultan Daulat, Kota Subulussalam.

Menurut laporan, remaja yang masih bersekolah itu dikenakan sekatan sosial ringan kerana mereka masih di bawah umur.

“Mereka cukup berani mengambil anak orang utan dari ibunya, kemudian menembak ibunya dengan 74 butir peluru senapang angin dan mereka juga melanggar peraturan penggunaan senapang angin,” kata Ramadhani, pengarah Center for Orang Utan Protection (COP).

Sebelum ini dilaporkan Hope yang ditembak dengan 74 peluru angin dengan 4 daripadanya menembusi mata kiri dan 2 peluru di mata kanan.

Orang utan itu juga mengalami buta kekal, patah tulang selangka dan beberapa luka kecil akibat cucukan benda tajam.

Hope dan anaknya yang berusia sebulan ditemui dalam keadaan kekurangan zat ketika penduduk di wilayah Sumatera membersihkan hutan untuk penanaman kelapa sawit. Bagaimanapun anaknya mati ketika pasukan penyelamat bergegas membawa mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.