Sarjan Caroline sukarelawan ‘Sahabat Maktab’ bantu jemaah haji

Sarjan Caroline sukarelawan ‘Sahabat Maktab’ bantu jemaah haji

Caroline yang memeluk Islam pada 2006 menawarkan diri sebagai sukarelawan kerana melihat ia sebagai satu pengorbanan dan boleh membantu TH mengurus jemaah terutama aspek keselamatan.

Caroline Justin Thaddeus Abdullah. (Gambar Bernama)

Melihat kepada perwatakannya yang ayu serta lemah lembut, pasti ramai yang tidak menyangka seorang Jemaah haji wanita Caroline Justin Thaddeus Abdullah, seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Caroline, 45, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bagaimanapun terpanggil untuk menjadi sukarelawan “Sahabat Maktab” yang bertanggungjawab menyantuni duyufurrahman atau tetamu Allah di Tanah Suci serta memastikan jemaah haji selesa dan dibantu dengan baik.

Beliau yang bertugas sebagai Pemerhati Udara di Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia Pangkalan Sabah berkata, dirinya dapat membantu jemaah haji dari Sabah terutama aspek komunikasi dengan jemaah haji negeri lain dan petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

“Saya akan cuba sebaik mungkin membantu kerana (jemaah) daripada pantai timur dan pedalaman (Sabah) ada juga masalah komunikasi, mungkin mereka tidak berapa faham bahasa orang Semenanjung, jadi saya akan cuba yang terbaik (untuk membantu) terutama di Arafah dan Mina nanti,” katanya memetik laporan Bernama.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah dari Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam ke-5 itu yang tinggal di 9 maktab penginapan dibantu 640 petugas TH.

Caroline yang memeluk Islam pada 2006 menawarkan diri sebagai sukarelawan kerana melihat ia sebagai satu pengorbanan kepada Allah SWT dan boleh membantu TH mengurus jemaah terutama aspek keselamatan.

“Sebelum ini tidak pernah dengar ‘Sahabat Maktab’ ini tetapi setibanya di sini pengurus maktab beritahu memerlukan sukarelawan bantu jemaah haji, sebagai anggota polis saya rasa terpanggil untuk membantu, di tanah air boleh bertugas apa salahnya di sini saya membantu.

“Saya diberi peluang menunaikan haji, jadi saya rasa tanggungjawab saya untuk membantu terutama menasihatkan jemaah tentang cara menjaga keselamatan di sini, kita tidak mahu jemaah haji jadi mangsa kes seperti kecurian dan sebagainya,” katanya yang menabung dengan TH sejak 2006.

Beliau yang menjadi sukarelawan “Sahabat Maktab” untuk Maktab 86 berkata, menyertai program itu tidak mengganggu ibadahnya di Tanah Suci kerana program sukarelawan itu diatur dengan baik oleh pihak TH.

Lebih 300 jemaah haji dari Sabah menginap di Maktab 86 di Tanah Suci.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.