Pemimpin PAS saran ahli politik berisiko tinggi dibenar miliki senjata api

Pemimpin PAS saran ahli politik berisiko tinggi dibenar miliki senjata api

Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Muhamad Badzli Abu Bakar menyuarakan cadangan itu kerana jenayah semakin berleluasa dan senjata api boleh digunakan untuk perlindungan diri ahli politik berisiko tinggi.

Kamaruddin Abdullah yang parah selepas ditetak 2 lelaki dengan senjata tajam semalam, masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Muhamad Badzli Abu Bakar mencadangkan kerajaan memberi hak dan kelonggaran kepada ahli politik berisiko tinggi untuk memiliki senjata api, selepas Timbalan Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Kamaruddin Abdullah ditetak 2 lelaki semalam.

“Jenayah hari ini semakin berleluasa dan semakin kejam, jadi sebaik-baiknya orang-orang yang mempunyai kapasiti tinggi dan berisiko diberikan hak untuk mempunyai senjata bagi perlindungan diri,” katanya dipetik Bernama selepas menziarah Kamaruddin di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, hari ini.

Kamaruddin parah di kepala dan badan selepas diserang 2 lelaki menggunakan senjata tajam kira-kira 7.30 malam Ahad, ketika berjalan kaki ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat maghrib berhampiran Jalan Tengku Chik di Kota Bharu.

Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun yang juga anak ke-4 mangsa berkata, bapanya kini stabil selepas menjalani pembedahan.

“…dia mengenali semua pelawat yang menziarahinya, namun ayah perlu banyak berehat dan juga tidak boleh bercakap terlalu banyak,” katanya sambil menambah mereka sekeluarga terkejut dengan kejadian itu.

“Saya hairan penjenayah boleh menyerang ayah saya, memandangkan ayah tiada musuh, malah ramah dengan semua orang dan tidak mungkin ia berlaku disebabkan permusuhan dalaman.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak polis yang sentiasa memaklumkan perkembangan terkini siasatan kepada kami.”

Katanya, ramai pemimpin tertinggi Umno bertanya khabar dan menzahirkan simpati, termasuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden, Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.