Kit Siang mahu PH ‘nilai semula’ janji manifesto secara menyeluruh

Kit Siang mahu PH ‘nilai semula’ janji manifesto secara menyeluruh

PH perlu mengenal pasti program dan cadangan yang tidak dapat ditunaikan tepat masa, tetapi pada waktu sama terus berpegang pada 5 tonggak utama manifestonya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang.
KUALA LUMPUR:
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata masanya telah tiba untuk Pakatan Harapan membuat satu penilaian semula secara menyeluruh ke atas janji manifestonya dengan berkata, ia perlu bagi menangani isu keyakinan orang ramai kepada kerajaan berusia 14 bulan itu.

“Saya percaya rakyat Malaysia akan menghargai usaha ini daripada kita cuba menyembunyikannya,” kata Lim dalam ucapannya pada Simposium Ekonomi Malaysia di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, PH perlu mengenal pasti program dan cadangan yang tidak dapat ditunaikan tepat masa, tetapi pada waktu sama terus berpegang pada 5 tonggak utama manifesto berkenaan.

Ia termasuklah usaha meringankan beban rakyat, reformasi institusi dan politik, pembangunan mampan dan saksama, pemulihan taraf Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan Malaysia yang inklusif serta moderat.

Lim yang merupakan timbalan pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen berkata, pemimpin PH harus menyedari dan mengakui kekecewaan sejumlah besar penyokong yang kini merasai kerajaan PH kembali mengikut jejak kerajaan Barisan Nadsional (BN) sebelum ini.

“Mereka silap, tetapi pada masa sama kita mestilah boleh menyampaikan mesej dan meyakinkan bahawa kekecewaan mereka merupakan satu kesilapan.”

Lim berkata, PH perlu membuktikan bahawa mereka terus komited dalam membetulkan hala tuju negara ke arah sebuah Malaysia Baru.

Beliau merujuk pelantikan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua hakin negara, peguam negara Tommy Thomas, pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Azhar Harun dan Abdul Hamid Bador sebagai ketua polis negara.

Beliau juga memetik beberapa pindaan terbaru ke atas perlembagaan bagi menurunkan had umur pengundi, dan pembentangan rang undang-undang bagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Kita boleh berdebat sama ada lebih banyak reformasi perlu dilakukan.

“444 hari sejak pertukaran bersejarah kerajaan pada 9 Mei 2018, kini tiba masanya untuk menilai semula janji Malaysia Baru PH dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.

Kata beliau, penilaian semula itu lebih diperlukan sekarang selepas had umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

“Untuk memenangi hati golongan muda, kita mestilah bersikap berterus terang mengenai matlamat sebuah Malaysia Baru yang kemakmurannya dikongsi bersama, sambil menggalas sokongan mereka dengan idealisme dan visi kita,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.