Galak golongan pendapatan sederhana miliki rumah juga, kerajaan diberitahu

Galak golongan pendapatan sederhana miliki rumah juga, kerajaan diberitahu

Bekas presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, Tan Kian Aun, ulas gesaan Ahli Parlimen supaya khusus sekurang-kurangnya 50% unit rumah mampu milik kepada golongan muda.

perumahan mampu milik
Ketika membentangkan RMK13, Perdana Menteri Anwar Ibrahim umum satu juta unit rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh 2026 hingga 2035. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan disaran menggalakkan pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan golongan pendapatan sederhana juga, di sebalik gesaan supaya mengkhususkan sekurang-kurangnya 50% unit kepada golongan muda.

Bekas presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, Tan Kian Aun, berkata dalam golongan tersebut terdapat kumpulan usia sederhana dengan pendapatan yang membolehkan mereka menanggung hartanah.

Beliau menyarankan kerajaan mempertimbangkan perkara ini, di sebalik kebimbangan hartanah akan menjadi beban ke atas golongan muda ketika kos pembiayaan hartanah dan perbelanjaan semakin meningkat.

“Ramai yang lupa kos penyelenggaraan seperti ‘maintenance fee’, menjaga dan kemaskini rumah juga antara faktor yang harus diambil kira, bukan setakat membayar pinjaman,” katanya kepada FMT.

“Sudah tentu kalau boleh melabur atau memiliki rumah dari usia muda amat digalakkan tetapi kita juga inginkan hartanah itu bukan satu beban kepada mereka.”

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, menggesa kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 50% unit rumah mampu milik dikhususkan kepada golongan muda, ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 20 Nov.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 di Dewan Rakyat pada Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak satu juta unit rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh 2026 hingga 2035.

Pakar kewangan, Azizul Azli Ahmad, berkata ‘kuota khas’ akan membantu golongan muda memiliki rumah kerana tidak perlu bersaing dengan golongan lebih berkemampuan.

Beliau bagaimanapun menarik perhatian kepada isu lambakan hartanah kediaman yang tidak terjual, mengatakan isu pemilikan bukan tentang harga dan bekalan sahaja.

“Lokasi tak strategik jadi ‘jin bertendang’,” katanya.

Pada Mei, laporan Berita Harian menulis rumah mampu milik berharga bawah RM300,000 terus mencatat kadar tidak terjual yang tinggi, disebabkan faktor lokasi yang tidak strategik dan mutu binaan yang tidak memuaskan.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Kenneth Soh, dilapor berkata kos seperti masa perjalanan yang jauh, keselesaan harian dan tahap keselamatan turut diambil kira dalam keputusan pembelian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.