Peguam gesa polis bebaskan Orang Asli Temiar segera

Peguam gesa polis bebaskan Orang Asli Temiar segera

Lawyers for Liberty berkata, undang-undang sepatutnya digunakan untuk melindungi Orang Asli, bukannya menindas masyarakat itu.

Sekatan yang didirikan Orang Asli Temiar di Kampung Sungai Papan di Gerik untuk menghalang kemasukan pembalak. (Gambar Facebook COAC)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan peguam menggesa polis membebaskan segera 3 Orang Asli Temiar yang direman 2 hari untuk membantu siasatan ke atas pembinaan sekatan di Kampung Sungai Papan, Gerik di Perak.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Melissa Sasidaran berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya menahan Orang Asli terbabit, sebaliknya mereka perlu membantu komuniti itu.

“Kerangka Perlembagaan dan undang-undang harus digunakan untuk melindungi mereka, bukannya menindas mereka,” katanya kepada FMT hari ini.

Pagi tadi, Mahkamah Majistret Gerik membenarkan permohonan perintah reman 2 hari ke atas Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man yang ditahan semalam selepas syarikat merobohkan satu sekatan yang didirikan di Kampung Sungai Papan untuk menghalang kemasukan lori balak.

Selain menahan 3 Orang Asli Temiar itu, pihak berkuasa turut merampas 5 motosikal dan sebuah kamera.

Sasidaran berkata, Orang Asli antara golongan paling kurang berkemampuan dan terpinggir di negara ini, tetapi tiada pihak yang mahu membantu mereka.

“Pihak berkuasa dan kerajaan negeri memilih untuk berpakat dengan pembalak untuk mengeksploitasi tanah Orang Asli dan kini dengan kejam menahan mereka hanya kerana memperjuangkan tanah dan hak mereka.”

Katanya, kegiatan pembalakan di tanah adat Orang Asli akan menjejaskan alam sekitar dan cara hidup masyarakat itu.

“Ini ialah isu survival mereka kerana jika tidak mampu mengekalkan cara hidup mereka, survival mereka tergugat.”

Sabtu lalu, 3 lagi Orang Asli Temiar ditahan apabila syarikat merobohkan satu sekatan di Kampung Sungai Papan, Gerik.

Mereka dibebaskan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mengeluarkan satu kenyataan menggesa polis tidak memihak kepada pembalak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.