
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata semua mereka yang terdiri daripada pegawai dan penguatkuasa Gred 19 hingga 29 itu dipercayai terlibat menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.
“Perincian tuduhan saya tak boleh dedahkan sehingga pendakwaan esok. Mereka akan didakwa secara berperingkat melibatkan pegawai dan penguatkuasa…pegawai itu bukan bertaraf tinggi sangat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Pulau Pinang hari ini.
Pada 16 April lepas, SPRM menahan 31 individu termasuk 23 anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya yang membawa lebih muatan.
Semua penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat, selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.
Ditanya sama ada akan ada lagi tangkapan selepas ini, Latheefa berkata pihaknya tidak boleh memberikan maklumat kerana tidak mahu mengganggu siasatan.
“Kami minta pihak media untuk memahami kerana kes ini yang bermirip sindiket kita tidak mahu siasatan disabotaj,” katanya.