Usul had umur undi 18 tahun lulus dengan sokongan 2/3 Dewan Rakyat

Usul had umur undi 18 tahun lulus dengan sokongan 2/3 Dewan Rakyat

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 lulus menerusi undi belah bahagi.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun lulus dengan sokongan 2/3 Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan seramai 211 menyokong usul itu dan tiada ahli Parlimen yang menolaknya dalam undi belah bahagi yang diadakan selepas perbahasan oleh wakil-wakil rakyat pemerintah dan pembangkang.

“Lebih 2/3 undi,” katanya. “Tahniah, melakar sejarah hari ini, tepat setahun Parlimen bersidang.”

Jemaah menteri bersetuju untuk menurunkan umur mengundi pada September tahun lepas, dan kerajaan juga memasukkan cadangan pembangkang yang mahu warganegara mencecah usia 18 tahun didaftarkan sebagai pengundi secara automatik, dan membolehkan warganegara yang berusia 18 tahun bertanding pilihan raya dalam RUU itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul itu hari ini berkata, dengan penurunan had umur mengundi dan pendaftaran automatik itu, seramai 7.8 juta pengundi baru akan dimasukkan dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga 2023.

“Kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada 2023 akan meningkat lebih daripada 50% menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada PRU14 2018,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.