
Timbalan Menteri Mohd Azis Jamman berkata setakat ini pihaknya belum menerima maklum balas polis berhubung dakwaan Wan Ji, yang dipenjarakan selepas disabit bersalah menghina Sultan Selangor.
“Isu ini sudah dibawa kepada perhatian KDN. Kita serahkan kepada polis dan tunggu hasil siasatan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Wan Ji sebelum ini mendakwa dirinya dipukul individu bertopeng yang memakai pakaian warden. Katanya, beliau ada memaklumkan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah mengenai kejadian yang menimpa dirinya sewaktu dipenjarakan.
Wan Ji ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman 1 tahun penjara selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor 7 tahun lalu.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Wanji berkuatkuasa 12 Julai sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.