
Katanya, kertas kerja cadangan itu sudah disiapkan dan pihaknya dalam usaha mendapatkan maklum balas, selain berunding dengan pihak berkepentingan dalam isu itu.
“Rundingan melibatkan aspek pelaksanaan dan pada Isnin ini, kita juga akan berbincang dengan ahli Parlimen,” katanya selepas merasmikan Pameran Malaysia Baru sempena Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Pahang 2019 anjuran Jabatan Penerangan hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan, Mohd Sukari Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Penerangan Pahang, Mohd Salmun Mustafa.
Media sebelum ini melaporkan cadangan lantikan guru Kafa ke skim perjawatan tetap itu dijangka dibentangkan ke Kabinet bulan ini dengan jangkaan ia dapat diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.
Dianggarkan 31,460 guru Kafa bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis Kafa di seluruh negara ketika ini.
Sementara itu, Fuziah berkata, pertandingan pengisahan kenegaraan membabitkan generasi muda, khususnya pelajar sekolah dapat meningkatkan jati diri dan semangat patriotik dalam diri mereka.
“Peserta juga berpeluang menjelaskan nilai positif dalam menghargai pengorbanan tokoh negara kepada masyarakat dan mengambil teladan daripada sejarah untuk sama-sama membantu mempertahankan kedaulatan negara.”
Program selama 3 hari yang bermula semalam itu turut memberi peluang kepada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuka ruang pameran bagi mendekati masyarakat serta golongan sasar.
Kumpulan Pewaris Bangsa dari Lipis dinobatkan sebagai juaran pertandingan pengisahan kenegaraan peringkat Pahang tahun ini dan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan, selain akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
Mereka menewaskan 10 kumpulan lain, dengan tempat ke-2 dimenangi pasukan Anak Warisan Timur dari Raub, manakala kumpulan Kirana Jauhari yang mewakili Pekan menduduki tempat ke-3.