Selangor serap 5,000 penjawat awam kontrak jadi tetap, kata Amirudin

Selangor serap 5,000 penjawat awam kontrak jadi tetap, kata Amirudin

Menteri besar berkata timbul salah faham berhubung pembatalan pekeliling sedangkan negeri ini menyerap sejumlah besar penjawat awam kontrak.

Amirudin Shari berkata, pelantikan tetap dibuat di Selangor juga sudah tidak menjadi amalan di kebanyakan negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 5,000 daripada 7,000 penjawat awam kontrak di Selangor sudah diserap ke jawatan tetap, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata, kadar penyerapan jawatan tetap itu disifatkan tinggi dengan dilakukan mengikut saranan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor (SPN).

Katanya, kebanyakan yang diserap tersebut adalah individu berpengalaman sehingga jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik dan sebagainya yang sebahagian besarnya diserap oleh perjawatan peringkat persekutuan.

“Jadi, apa isunya kalau mereka sudah disahkan jawatan, mereka sewajarnya boleh mendapat siri temuduga atau pun pembangunan.

“Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pun sudah tidak praktiskan perkara itu. Cuma tidak dibatalkan, itu sahaja,” katanya menurut Kosmo.

Beliau berkata demikian selepas Selangor Mega Job Fair di Shah Alam.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) kesal dengan tindakan kerajaan Selangor membatalkan dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat lebih 15 tahun.

Mengulas lanjut, Amirudin memberitahu, pelantikan tetap tersebut juga sudah tidak menjadi amalan di kebanyakan negeri.

“Saya ingat, mungkin ada salah faham bila kita batalkan pekeliling, ia jadi isu. Negeri lain tidak batal pekeliling, tidak laksanakan pun.

“Itu maklum balas awal, biar saya dapatkan juga (maklumat) daripada JPA. Sebab, akhirnya pentadbiran awal di peringkat negeri sebahagian besarnya adalah pentadbiran awam di peringkat persekutuan sama ada pegawai itu diambil atau posisi mereka dalam jawatan itu ditetapkan oleh JPA,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.