
Dakwaan itu terkandung dalam memorandum “Kami Tidak Mahu Peristiwa Kuala Koh Berlaku Kepada Masyarakat Kami” yang diserahkan kepada perdana menteri hari ini.
Memorandum diterima oleh Ketua Setiausaha Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Juli Edo.
Jurucakap kumpulan itu, Anjang Aluej berkata, Orang Asli terlibat tidak tahu pun ubat itu ubat perancang, sebab-sebabnya dan kesan-kesannya.
“Kami Orang Asli memang tak tahu pasal ini,” katanya kepada pemberita selepas serahan memorandum.
Mereka juga tidak pasti dari mana petugas-petugas perubatan kerajaan yang memaksa mereka mengambil ubat perancang itu.
“Ikut bahagian masing-masing,” katanya, merujuk kepada kawasan-kawasan Orang Asli.
Terdahulu, seramai 40 Orang Asli suku Temiar muncul di Parlimen pagi tadi untuk bertemu para pegawai kerajaan dan bermesyuarat mengenai isu-isu yang dinyatakan dalam memorandum itu.
Perbincangan berakhir pada kira-kira 4 petang tadi.
Sementara itu, salah seorang Orang Asli yang ditemui mengadu dirinya mengalami perubahan selepas mengambil ubat daripada petugas-petugas berkenaan.

“Badan saya selalu rasa berat, sakit kepala dan susah berjalan. Bila bangun, rasa macam pusing-pusing,” kata Lina, 26, seorang ibu dari Gerik, Perak.
Lina berkata dia menerima suntikan pada awal bulan ini.
Sanorah, 30, pula berkata dia tidak mahu mengambil sebarang ubat tetapi dipaksa berbuat demikian. Ibu kepada 5 orang anak ibu percaya kecacatan seorang anaknya ada kaitan dengan ubat yang diberikan.
“Anak saya 5 orang. Anak ke-4 saya ‘cacat’ sebab makan ubat,” katanya.
Ditanya sudahkah dia merujuk anaknya ke hospital untuk pemeriksaan dan pengesahan, Sanora menjawab: “Tidak, tak pergi. Tapi lepas ambil ubat, anak saya lahir macam itu.”
FMT sedang menunggu maklumbalas Kementerian Kesihatan Malaysia atas dakwaan ini.