16 mangsa eksploitasi buruh paksa diselamat

16 mangsa eksploitasi buruh paksa diselamat

Mereka dipercayai dijadikan buruh paksa dalam beberapa sektor pekerjaan.

16 forced labour
Seramai 16 mangsa eksploitasi buruh paksa yang diselamatkan dibawa ke IPD Gombak, Brickfields dan Subang Jaya untuk tindakan lanjut. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Polis menyelamatkan 16 individu dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dalam beberapa sektor pekerjaan menerusi Op Pintas Mega dijalankan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Soffian Santong, berkata serbuan pertama dilakukan pada 12.05 tengah malam di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri, Rawang, yang menyelamatkan lima remaja lelaki berusia antara 16 hingga 17 tahun, terdiri daripada empat warga Myanmar dan seorang Indonesia.

“Dalam serbuan itu, dua lelaki masing-masing seorang warga tempatan berusia 29 tahun yang merupakan majikan dan seorang lelaki warga India berusia 26 tahun yang merupakan penyelia ditahan bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Turut ditahan, 20 lagi individu termasuk warga India, Myanmar, Bangladesh dan Indonesia berumur antara 22 hingga 45 tahun di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, serbuan kedua pada 11.30 pagi di tapak pembinaan di Pantai Dalam menyelamatkan lapan lelaki terdiri seorang warga tempatan dan tujuh Bangladesh berumur 35 hingga 51 tahun.

Katannya, dua warga Bangladesh berusia 39 dan 45 tahun yang merupakan penyelia ditahan bawah Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007, manakala 17 lelaki lain ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Dua lagi serbuan dilakukan di dua bengkel kereta di Puchong Utama kira-kira 4.15 dan 4.25 petang, menyelamatkan tiga remaja lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun, termasuk seorang warga Myanmar,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 47 tahun yang nerupakan majikan ditahan bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007, manakala dua lelaki warga Myanmar berusia 33 dan 35 tahun ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63.

Semua mangsa dibawa ke IPD Gombak, Brickfields dan Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.