‘Jumpa mama di syurga’, ibu tersentak dengar rintihan anak kerap dibelasah sindiket scam

‘Jumpa mama di syurga’, ibu tersentak dengar rintihan anak kerap dibelasah sindiket scam

Nyawa Mohammad Farhan Azman ibarat di 'hujung tanduk' akibat sering dibelasah sindiket penipuan kerja kerana memberontak dan enggan buat aktiviti scam di Myanmar.

Mohammad Farhan (tengah) bersama bapanya, Azman Omar (kiri) dan ibunya, Zahiriyah Abd Rashid.
BATU PAHAT:
Luluh perasaan Zahiriyah Abdul Rashid, 45, apabila anaknya, Mohammad Farhan Azman, 20, yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar mengungkap kata,”kalau tak ada umur, kita jumpa kat sana (syurga). Paan tunggu mama di sana”.

Ketika itu, nyawa Farhan ibarat di hujung tanduk akibat dibelasah sindiket penipuan kerja berikutan kerap memberontak dan enggan melakukan aktiviti scam.

Namun, Zahiriyah kini boleh menarik nafas lega apabila anak kesayangannya itu sudah selamat kembali ke tanah air pada 21 Dis lalu dengan bantuan pelbagai pihak termasuk ADUN Teruntum Sim Chon Siang dan individu bernama Victor Wong.

“Anak saya kata, ‘kalau tak ada umur, kita jumpa kat sana (syurga). Paan tunggu mama ya’. Bayangkan apa perasaan saya ketika itu. Saya sedih sebab tak mampu nak tolong anak saya ketika itu. Saya bukan orang senang, saya kerja kilang saja.

“Saya kena bayar RM24,000 untuk bawa balik anak saya. Bayaran itu termasuk penalti tinggal lebih masa di Thailand, kos hotel, makanan dan minuman selepas berjaya larikan diri. Mana saya ada duit sebanyak itu. Mujurlah YB Sim dan Victor Wong bantu saya. Kerajaan Malaysia tak sediakan peruntukan untuk bawa balik mangsa,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Parit Raja.

Berkongsi kepada wartawan FMT, Zahiriyah menceritakan anaknya sering dipukul kerana enggan menipu duit orang ketika dikurung di KK Garden, Myawaddy – didakwa sarang pemerdagangan manusia berskala besar.

Farhan (tiga dari kanan) berkumpul bersama ibu dan bapa serta adik beradiknya, Muhd Nor Zahrit (paling kiri), Muhd Adam Adha (dua dari kiri) dan Nur Faradilla Farhana (kanan).

“Bukan dia tak boleh buat kerja scammer ini, Farhan kata senang saja kerja nak menipu orang, bukan susah pun. Cuma dia kata kat saya, berapa lama nak buat kerja itu? Dosa dengan Allah boleh minta ampun. Dosa dengan orang? Kita makan harta orang.

“Alhamdulillah, saya didik anak pun bukan bagus sangat, tapi dia boleh fikir sendiri. Dia sanggup kena belasah, sanggup tak buat (kerja scammer),” katanya.

Zahiriyah turut menceritakan, sehingga kini anaknya ralat kerana tidak berjaya meyakinkan seorang lagi rakannya lari menyelamatkan diri dan masih terperangkap sehingga kini di KK Garden.

“Farhan dah ajak Ahmad (bukan nama sebenar) balik, tapi dia takut nak larikan diri sebab terlalu risiko. Farhan pula tak ada ‘plan’ (rancangan), dia hanya fikir nak selamatkan diri saja. Dia pasrah kalau percubaanya gagal dan dia kehilangan nyawa.

“Sehinggakan Farhan termimpi-mimpikan Ahmad. Dalam mimpi tu Ahmad kata ‘Paan, tolong aku’. Anak saya kini banyak termenung dan sekarang dia tak nak bercakap dengan orang yang dia tak kenal”.

Pada 21 Dis, hanya Farhan dan seorang lagi rakannya, Arif (bukan nama sebenar), pulang ke tanah air, sementara Ahmad masih dipaksa menjadi scammer di negara diperintah junta itu.

Mohammad Farhan Azman.

Dapat kerja melalui Facebook

FMT turut menemubual Farhan untuk mengetahui pengalaman pahitnya selama empat bulan menghuni bangunan yang dikawal ketat pengawal bersenjata api.

“Mula-mula pihak yang berhubung melalui Facebook iaitu ‘Mr Kelvin’ memberitahu kerja yang mereka tawarkan adalah di sebuah hotel dengan gaji sebulan sebanyak SGD1,000.

“Kemudian, mereka memaklumkan hotel di Singapura penuh dan terpaksa ditukar ke Thailand dengan penambahan gaji kepada USD1,100,” katanya.

Farhan berkata, pada awalnya beliau dan tiga lagi rakannya tidak bersangka buruk kerana semuanya dilayan dengan baik, selain wang dan tiket penerbangan ke Bangkok, Thailand dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai diuruskan pihak sindiket.

“Tiba di Thailand, kami terus dibawa sebuah kereta ke daerah Mae Sot yang mengambil masa lapan jam perjalanan, mula-mula tiga lorong, kemudian dua dan akhirnya masuk ke kawasan hutan tebal.

“Setibanya di sebuah sungai, kami diarah menaiki bot menyeberang sungai dan setibanya di Myawaddy, Myanmar, baru kami sedar kami ‘dijual’ selepas diugut dan diacu senapang AK47 serta M16.

“Kami kemudian dibawa ke bangunan di KK Garden dan ditempatkan di sebuah bilik berkongsi dengan lapan yang lain dan diberitahu kerja kami di sana adalah sebagai scammer,” katanya.

Menurut Farhan, dia dan Arif selalu memberontak dan enggan melakukan kerja disuruh sehingga menyebabkan mereka diseksa, dipukul dengan kayu, ditampar, ditumbuk serta diterajang.

Tambahnya, jika mahu pulang ke Malaysia, ketua sindiket berkenaan meminta wang sebanyak RM15,000 dibayar kepada mereka sebelum membenarkan Farhan pulang ke Malaysia.

“Kami diarah menipu dan scam rakyat Malaysia, saya sendiri melihat mangsa rakyat Malaysia yang mahu pergi ke umrah terpaksa membatalkan urusan ibadah tersebut kerana ditipu sindiket ini dan wang RM93,000 lesap dari simpanan mereka.

“Disebabkan itu saya memberontak dan tidak mahu melakukan kerja diarahkan, jadi saya akhirnya mahu dijual ke Laos dan ketika itu saya dan Arif rancang melarikan diri,” katanya.

Anak kedua dari empat beradik itu berkata, ketika dipindahkan dari Myawaddy ke Mae Sot di Thailand, dia dan Arif yang sudah lapan hari tidak diberi makan, nekad melarikan diri dan bersembunyi di sebuah kedai.

“Mujur pemilik kedai makan itu baik dan membantu kami memberi telefon dan memberi ruang untuk kami bersembunyi bagi membolehkan kami menghubungi keluarga.

“Kami di kedai makan itu sejak jam 12 tengah hari hingga jam 6 petang sebelum dapat nombor Victor Wong dan YB Sim.

“Victor Wong memang banyak membantu kami, dia salurkan wang untuk kami bersembunyi di hotel berhampiran selama lima hari, sebelum dia sendiri dan YB Sim datang membawa kami pulang ke Malaysia pada 21 Dis tahun lalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.