Polis kesan taktik Ah Long paksa, ugut mangsa buat pinjaman

Polis kesan taktik Ah Long paksa, ugut mangsa buat pinjaman

Polis terima aduan mangsa mendakwa sudah membayar sejumlah wang dan tidak mahu membuat pinjaman, tetapi diugut serta dipaksa Ah Long.

Ramli Mohamed Yoosuf menasihatkan orang ramai berwaspada dengan taktik sindiket Ah Long memaparkan logo jata negara dan bank.
PETALING JAYA:
Polis mengesan sindiket Ah Long menggunakan taktik memaksa dan mengugut mangsa membuat pinjaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya menerima aduan semalam, mangsa mendakwa sudah membayar sejumlah wang dan tidak mahu membuat pinjaman, tetapi diugut serta dipaksa Ah Long.

“Ia merupakan salah satu taktik sindiket ah long memaksa mangsa membuat pinjaman,” katanya menurut Sinar Harian.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai berwaspada dengan taktik sindiket Ah Long mengiklankan tawaran pinjaman di laman sosial kerana ada yang memaparkan logo jata negara dan bank negara serta mengakui kononnya mereka “berlesen”.

“Jangan buat pinjaman atau apa-apa permohonan daripada Ah Long kerana apabila permohonan itu lulus, namun mangsa tidak mahu, mereka akan dipaksa sehingga mengambil wang pinjaman itu.”

Ramli berkata, jika mangsa gagal membuat bayaran dikehendaki, Ah Long akan bertindak memalukan mangsa dengan memaparkan identiti peminjam di laman sosial.

Beliau menasihatkan orang ramai mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan berlesen yang diperakui Bank Negara.

“Pihak bank juga perlu ada skim bantuan kewangan kepada individu tidak mempunyai pendapatan tetap atau peniaga kecil bagi mengelakkan mereka meminjam dengan Ah Long.”

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan nasihat perunding kewangan seperti Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) berhubung masalah kewangan, bukannya meminjam dengan Ah Long.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.