Prototaip kereta terbang didedahkan Oktober ini, kata menteri

Prototaip kereta terbang didedahkan Oktober ini, kata menteri

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof mengulangi projek kereta terbang itu tidak membabitkan dana kerajaan.

Redzuan Md Yusof berkata, projek kereta terbang pertama Malaysia ialah cara kerajaan mendorong rakyat memikirkan teknologi baru.
KUALA LUMPUR:
Model prototaip kereta terbang pertama Malaysia akan didedahkan kepada orang ramai pada Oktober ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof.

Beliau mengulangi projek kereta terbang itu akan dipacu teknologi tempatan tanpa menggunakan sebarang dana kerajaan.

“Sukacita saya memperingati ahli dewan, projek e-mobiliti prototaip kereta terbang ini tidak melibatkan 1 sen pun duit rakyat.

“Ia adalah inisiatif beberapa syarikat persendirian dan kita kena sentiasa menjalin hubungan dengan syarikat persendirian supaya industri ini dirangsang, selari pembangunan industri antarabangsa,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) mengenai perkembangan model prototaip kereta terbang pertama negara.

Redzuan berkata, projek kereta terbang itu ialah cara kerajaan mendorong rakyat memikirkan teknologi baru.

“Kalau kita tidak sediakan ruang, maka kita akan ketinggalan sebab itu kita membabitkan segala usaha agar anak tempatan dapat membangunkan industri berkenaan.”

Beliau menasihatkan rakyat supaya berpandangan jauh daripada sekadar mengecam idea kereta terbang itu.

“Inovasi berkembang begitu cepat, jadi kalau kita tidak menyediakan ruang dan peluang, maka kita akan ketinggalan di belakang.

“Maka, sebab itu kita lihat hari ini kita melibatkan diri menyokong dan mendokong usaha anak tempatan untuk membangunkan industri di peringkat antarabangsa.”

Katanya, sebanyak 11 projek aeroangkasa yang termasuk kereta terbang, sudah diluluskan kerajaan dengan 7 daripadanya diberikan kepada syarikat tempatan yang mampu mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Mengenai tahap keselamatan negara berdepan pencerobohan asing susulan pelaksanaan projek kereta terbang dan aeroangkasa, Redzuan berkata, beliau sedang berbincang dengan beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pengangkutan untuk merangka dasar serta undang-undang bagi menjamin keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.