
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berkata, Yuta Maju Sdn Bhd dan pengarah projeknya mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan itu di depan Hakim Madzi Abdul Hamid.
Yuta Maju dan pengarah projeknya didakwa di bawah Seksyen 15 (1) AKta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 atas kegagalan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja di tempat kerja.
JKKP berkata, dalam pertuduhan pertama, Yuta Maju didakwa gagal menggunakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja “backfill” tanah untuk cerun sementara menyebabkan tanah runtuh berlaku pada 19 Oktober 2018.
Pertuduhan ke-2 di bawah seksyen sama akta itu, syarikat itu didakwa gagal menyediakan prosedur keselamatan bagi operasi kren menyebabkan rasuk konkrit jatuh di tapak pembinaan pada 11 Oktober 2018.
Dalam laporan kerajaan negeri sebelum ini, sebanyak 14 rasuk konkrit yang setiap satu berukuran 25m dilaporkan jatuh di lereng Jalan Tun Sardon akibat pengendali kren tidak sengaja melanggar sebatang rasuk yang terletak di atas tanah.
Bagi pertuduhan ke-3 di bawah Seksyen 29 (2) akta sama, Yuta Maju didakwa gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja.
JKKP berkata, mahkamah menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes itu dan penyerahan dokumen.
“JKKP memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku. Majikan di tempat kerja mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti berkaitan dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan ke atas pekerja dan orang awam.”
Sebanyak 13 kontena dan rumah kongsi pekerja asing projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong, tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada 1.56 tengah hari 19 Oktober 2018.
Sembilan pekerja asing terdiri daripada 3 lelaki Indonesia, 5 lelaki Bangladesh dan 1 wanita Myanmar maut, manakala 4 lagi cedera.