Kebakaran Putra Heights: Laporan polis, JKKP keluar hujung Jun

Kebakaran Putra Heights: Laporan polis, JKKP keluar hujung Jun

Ketua polis Selangor berkata, pihaknya sudah selesai buat siasatan dan kini tunggu JKKP lengkapkan siasatan.

Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
SEPANG:
Laporan siasatan polis serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung kebakaran saluran gas di Putra Heights bulan lepas dijangka dikeluarkan pada hujung bulan depan.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis yang turut meliputi unsur kecuaian atau khianat telah selesai dan pihaknya sedang menunggu JKKP melengkapkan siasatan mereka.

“Polis dan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas telah membantu mereka mengeluarkan spesimen diperlukan (bagi siasatan),” katanya pada sidang media.

“Buat masa ini, kami menunggu analisis lanjut JKKP, melibatkan analisis makmal (dan) ada pelbagai teknik digunakan ke atas spesimen dari kawasan itu.”

Hussein berkata, sekurang-kurangnya lima spesimen dikeluarkan untuk siasatan atau analisis lanjut oleh JKKP, selain agensi lain terlibat dalam siasatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains juga selesai mengambil sampel diperlukan.

“Mereka (pihak terlibat dalam siasatan) perlu mendapatkan hasil analisis, barulah boleh merumuskan sebab letupan itu berlaku,” katanya menambah, lokasi ‘ground zero’ juga telah diserahkan kepada Petronas untuk proses pemulihan.

Ditanya sama ada jengkaut dikatakan terbenam akibat letupan itu telah dikeluarkan, Hussein berkata, polis telah mengenal pasti lokasi jentera itu, namun ia belum dikeluarkan.

“Kita akan keluarkan juga jengkaut selepas kerja pemulihan di ‘ground zero’ selesai, kerana sebelum ini kita menumpukan kepada kawasan mempunyai paip. Kita tidak boleh buat serentak (bimbang) kawasan itu akan runtuh.

“Sekarang siasatan di kawasan paip sudah selesai dan apabila Petronas selesai membuat proses pemulihan, pasukan siasatan akan bergerak ke tempat jengkaut terbenam,” katanya.

“Kita tidak boleh mengetepikan (jengkaut) itu sepenuhnya dan kita akan siasat lanjut apabila dapat jentera tersebut. Tetapi ia bukan keutamaan dalam dalam siasatan buat masa ini.”

Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 8.10 pagi, 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya, selain menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8m di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.