3 pekerja maut ditimbus, syarikat pembinaan didenda RM45,000

3 pekerja maut ditimbus, syarikat pembinaan didenda RM45,000

Syarikat itu didakwa gagal memastikan kerja-kerja korekan tanah dibuat mengikut prosedur hingga menyebabkan tiga pekerja Bangladesh ditimbus pada November lalu.

Mahkamah Majistret Kota Bharu
Mahkamah Majistret Kota Bharu di Kelantan mendenda syarikat pembinaan itu selepas wakilnya mengaku bersalah atas tuduhan gagal mengambil langkah keselamatan sehingga mengakibatkan tiga pekerjanya maut.
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat pembinaan didenda RM45,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu di Kelantan kerana gagal mengambil langkah keselamatan sehingga mengakibatkan tiga pekerjanya maut ditimbus ketika sedang melakukan kerja-kerja pengorekan tanah, November lalu.

Denda itu dikenakan selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad, lapor Sinar Harian.

Nik Habri juga mengarahkan majikan dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa gagal memastikan korekan tanah yang dibuat bagi pemasangan ‘RC Culvert’ mengikut prosedur kerja selamat sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Syarikat berkenaan didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan, Haizul Afta Masri manakala syarikat berkenaan diwakili oleh pengurusnya.

Dalam kejadian 2 Nov lalu, tiga pekerja warga Bangladesh maut akibat tertimbus di tapak pembinaan jalan baharu di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong.

JKKP kemudian mengarahkan kerja-kerja pengorekan di tapak projek pembinaan diberhentikan serta-merta melalui notis pemberhentian untuk siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.