Usaha Dr M cabar perlantikan ketua hakim sampai jalan buntu

Usaha Dr M cabar perlantikan ketua hakim sampai jalan buntu

Mahkamah berkata tiada lagi isu mengenai pelantikan Raus Sharif dan Zulkefli Ahmad Makinudin.

Raus Sharif dan Zulkefli Ahmad Makinudin meletakkan jawatan selepas kerajaan bertukar tahun lepas. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Usaha Dr Mahathir Mohamad mencabar kesahan pelantikan bekas hakim-hakim tertinggi berakhir hari ini selepas Mahkamah Persekutuan membuang permohonan untuk meneruskan kes terhadap bekas ketua hakim negara, Raus Sharif dan bekas presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Ahmad Makinudin.

Mahathir, yang memfailkan permohonan itu sebelum kemenangan pilihan raya Pakatan Harapan tahun lepas berkata, perlembagaan tidak membenarkan pelantikan mereka kerana mereka sudah melepasi usia persaraan 66 tahun.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Rohana Yusof yang mempengerusikan panel 3 anggota hari ini berkata, tiada lagi isu mengenai pelantikan mereka berdua.

“Persoalan itu sudah terjawab dalam kes Badan Peguam terhadap mereka.

“Kami tidak nampak sebab untuk meninggalkan keputusan itu,” katanya, merujuk kepada kes yang difailkan Badan Peguam di Mahkamah Persekutuan.

Dua lagi hakim dalam panel itu adalah Zawawi Salleh dan Idrus Harun.

Raus dan Zulkefli meletak jawatan pada 31 Julai 2018, lebih 2 bulan selepas kerajaan bertukar tahun lepas.

Mereka diberi lanjutan 3 tahun dan 2 tahun selepas usia persaraan.

Peguam Mahathir, Haniff Khatri Abdulla sebelum itu memberitahu mahkamah anak guamnya berhasrat untuk meneruskan rayuan mengenai perkara-perkara dalam undang-undang.

“Beliau berharap badan kehakiman boleh memberi panduan kepada badan eksekutif mengenai keperlembagaan pelantikan seperti itu,” katanya, ketika ditanya Zawawi sama ada perdana menteri mahu meneruskan rayuan itu.

Peguam kanan persekutuan, Alice Loke berkata peguam negara melihat isu itu sebagai akademik.

“Ia akan menjadi sia-sia belaka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.