
Menjelaskan perkara itu, Mahathir berkata beliau sendiri meletakkan jawatannya selepas Bersatu menolak nasihat diberikan.
“Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya dia, secara terhormat sepatutnya letak jawatan, dan itulah yang saya lakukan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu menyusul kenyataan Zahid, Sabtu lalu mendakwa dirinya dalang utama menjatuhkan Mahathir sebagai perdana menteri pada 2020, dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman Umno.
Menurut Zahid, tindakan luar biasa terbabit terpaksa dilakukan untuk menolak Mahathir yang ingin mengharamkan Umno.
Mengulas lanjut, Mahathir mendedahkan Zahid ada bertemu dengannya ketika baru menjawat jawatan presiden Umno, bagi mengetahui apa akan terjadi kepada parti itu setelah kalah pada PRU14.
Bagaimanapun, Mahathir berkata Umno tidak lagi berpegang kepada dasar penubuhan parti untuk berjuang bagi bangsa, negara dan agama sebaliknya hanya untuk wang.
“Oleh kerana perjuangan tidak sama dengan perjuangan asal Umno, hak untuk dikenali sebagai parti Umno sudah hilang. Oleh itu adalah lebih baik bagi nama Umno tidak diguna dengan cara membubar parti yang mengguna nama Umno,” jelasnya.
Justeru itu, Mahathir berkata Zahid tidak perlu mendabik dada seolah-olah dirinya adalah wira yang menjatuhkan dirinya dan menyelamatkan Umno.
“Zahid bukan hero, dia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat Umno, iaitu DAP, supaya jadi timbalan perdana menteri demi menyelamatkan dirinya dari dibicara berkenaan kesalahannya,” katanya.
Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari 2020, sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, dalam gerakan dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Susulan itu kerajaan baharu ditubuhkan oleh Bersatu, Barisan Nasional dan sekumpulan ahli PKR diketuai Azmin Ali. Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri selepas itu.