Penduduk kaki gunung Kinabalu gusar kampung terjejas selepas gempa bumi 2015

Penduduk kaki gunung Kinabalu gusar kampung terjejas selepas gempa bumi 2015

Cuaca sekarang lebih panas dan banjir kini kerap berlaku selepas gempa bumi, selain berlaku gangguan bekalan air.

Pemimpin masyarakat, Somboton Gunsalahon berkata hari-hari sekarang lebih panas di Melangkap.
KOTA KINABALU:
Empat tahun selepas gempa bumi melanda Sabah, penduduk yang tinggal di 5 perkampungan Melangkap kira-kira 150km dari sini menunggu hari-hari dengan cuaca yang lebih sejuk dan sungai mereka pulih.

Pemimpin masyarakat, Somboton Gunsalahon berkata, cuaca sekarang lebih panas, walaupun tidak ketara kepada pengunjung yang datang buat kali pertama. Masalah yang lebih besar adalah banjir, kini lebih kerap selepas gempa bumi, selain berlaku gangguan bekalan air.

Somboton adalah wakil ketua suku daerah itu ketika gempa bumi melanda pada 5 Jun 2015 yang mengorbankan 18 nyawa, kebanyakannya di Gunung Kinabalu.

Beliau berkata: “Kawasan ini sentiasa sejuk. Sebab itulah pelancongan luar bandar berkembang di sini. Tetapi selepas gempa itu, kami menyedari cuaca lebih panas. Ia tidak begitu menyenangkan seperti dulu untuk berjalan di waktu petang.”

Bagaimanapun, perubahan itu mungkin tidak ketara kepada pengunjung yang datang buat kali pertama, kata Somboton, yang mengusahakan homestay dan tapak perkhemahan dengan berjaya.

Pengunjung yang datang menikmati keindahan sungai dan pemandangan Gunung Kinabalu yang menakjubkan dan menyaksikan matahari terbenam. Tetapi bagi penduduk kampung, sungai itu menimbulkan kebimbangan mengenai banjir dan gangguan bekalan air, selain menjejaskan perniagaan sektor pelancongan luar bandar Melangkap.

Sungai Panataran mendapat sumber air langsung dari Gunung Kinabalu, kira-kira 8.5km dari Melangkap. Hujan lebat boleh menyebabkan banjir.

Kaki gunung Kinabalu terletak kurang 10km dari kampung itu dan pemandangannya sangat menakjubkan, terutama pada waktu pagi dan pada waktu matahari terbenam ketika cuaca cerah.

Matahari terbenam menghasilkan campuran warna biru, ungu dan merah pada permukaan gunung, pemandangan terbaik yang dilihat dari Melangkap.

Pengunjung menghabiskan masa mereka dengan berkelah berhampiran sungai atau mengambil gambar Gunung Kinabalu.

Somboton bimbang masalah air akan mempengaruhi industri pelancongan kampung itu suatu hari nanti terutama industri itu sangat bergantung pada sungai tersebut.

“Tetapi ia sifat semula jadi alam. Apa yang boleh kita lakukan? Bagaimana anda boleh mengubah sifat semula jadi alam? Gunung itu mungkin boleh pulih akhirnya, dan sungai akan stabil. Tetapi siapa yang tahu berapa lama masa yang diperlukan, 1 dekad atau 2 terlalu lama untuk Gunung Kinabalu.

“Dalam masa yang sama, kita perlu meneruskan kehidupan kita sebaik mungkin. Sungai itu melalui proses pemulihan dan kita perlu membiarkannya,” katanya.

Lapan belas mangsa yang meninggal dunia dalam gempa bumi 2015, semuanya di Gunung Kinabalu, dan 137 pendaki terkandas di atas gunung. Mereka kemudian diselamatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.