Tak perlu hutang Felda jika urus ladang sendiri, peneroka beritahu PM

Tak perlu hutang Felda jika urus ladang sendiri, peneroka beritahu PM

Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan berkata, peneroka yang menerima Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil perlu membayar hutang kepada agensi kerajaan.

Peneroka yang menyerahkan ladang mereka untuk diuruskan Felda mendapat Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil sebanyak RM1,500 sebulan.
PETALING JAYA:
Kehidupan peneroka Felda yang menguruskan ladang sendiri lebih baik daripada mereka yang menyerahkan ladang untuk diuruskan Felda kerana mereka tidak perlu berhutang dengan agensi kerajaan itu, kata Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan.

Presidennya, Roslan Md Esa berkata, Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang diberikan kepada peneroka menyerahkan ladang mereka kepada Felda, sebenarnya ialah hutang yang perlu dibayar kepada Felda.

Badan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib peneroka Felda itu berkata demikian selepas Dr Mahathir Mohamad menegur sikap golongan itu hanya mengurus tanaman sendiri sehingga menjejaskan sumber pendapatan dan terus mengharapkan subsidi kerajaan.

Perdana menteri hari ini berkata, peneroka Felda sewajarnya bekerjasama dengan pengurus ladang untuk memastikan pengurusan tanaman lebih cekap.

“Dr Mahathir jangan buat tak tahu. Walaupun mereka yang serah ladang kepada pengurusan Felda mendapat duit sara hidup, namun ia adalah hutang yang wajar dibayar kembali.

“Adapun peneroka yang urus ladang sendiri, semua hasil ladang mereka adalah untuk mereka dan mereka tidak terbelit dengan hutang,” kata Roslan kepada FMT.

Beliau berkata, kerajaan tidak patut menyalahkan peneroka, sebaliknya perlu membantu mereka dengan mencari jalan menstabilkan harga komoditi itu.

Pada 20 April lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali dilaporkan berkata, Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil sebanyak RM1,500 sebulan dikekalkan.

Katanya, lembaga pengarah Felda pernah mencadangkan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dikurangkan kepada RM1,000 berdasarkan kedudukan kewangan semasanya.

“Bagaimanapun, PM tidak bersetuju dengan cadangan itu sebab keadaan ekonomi yang lemah pada masa ini terus menjejas dan memberi tekanan kepada peneroka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.